Siakap Keli
Kerjasama AI, Cabaran Demografi Menjadi Fokus Utama Mensyuarat Ke-31 Menteri-Menteri APEC Yang Bertanggungjawab Mengenai Perdagangan Di Republik Korea
Gambar Hiasan

Kerjasama AI, Cabaran Demografi Menjadi Fokus Utama Mesyuarat Ke-31 Menteri-Menteri APEC Yang Bertanggungjawab Mengenai Perdagangan Di Republik Korea

Kerjasama AI, Cabaran Demografi Menjadi Fokus Utama Mesyuarat Ke-31 Menteri-Menteri APEC Yang Bertanggungjawab Mengenai Perdagangan Di Republik Korea

Kuala Lumpur, 12 Mei 2025- Kecerdasan Buatan (AI) dan cabaran demografi akan menjadi fokus utama dalam Mesyuarat Ke-31 Menteri-Menteri Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang Bertanggungjawab Mengenai Perdagangan (MRT) yang akan berlangsung di Jeju, Republik Korea (Korea) pada 15 hingga 16 Mei 2025. Delegasi Malaysia ke Mesyuarat MRT tersebut akan diketuai oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Mesyuarat APEC MRT ke-31 akan dipengerusikan oleh TYT Inkyo Cheong, Menteri Perdagangan, Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea. Sebagai tuan rumah APEC 2025, Korea telah memilih tema Membina Masa Depan Mampan: Hubung. Inovasi.  Makmur”.

Berikutan cabaran semasa dalam perdagangan global, Malaysia akan memanfaatkan platform APEC untuk menegaskan komitmen teguh negara terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang telus dan berasaskan peraturan, berpandukan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai teras utama. Pendekatan ini selari dengan keutamaan tematik Korea, iaitu: Ketersambungan melalui Sistem Perdagangan Pelbagai Hala, Inovasi AI bagi Pemudahcara  Perdagangan, dan Kemakmuran melalui Perdagangan Mampan.

Komitmen Malaysia ini juga sejajar dengan Wawasan Putrajaya 2040 yang menekankan perdagangan dan pelaburan yang terbuka, adil dan tiada diskriminasi, sebagai pemacu integrasi serantau serta pertumbuhan mampan dan inklusif. Malaysia menyokong sepenuhnya tumpuan APEC terhadap AI sebagai pemangkin kepada pemudahcara perdagangan dan inovasi, yang secara langsung mencerminkan aspirasi Wawasan tersebut ke arah pembentukan komuniti Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan serta aman, dipacu oleh inovasi dan pendigitalan.

YB Tengku Zafrul berkata, “Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan ahli-ahli APEC bagi memastikan kemampanan, inovasi dan perdagangan terbuka saling mengukuhkan serta memberi manfaat kepada semua, seiring dengan usaha rantau ini menuju ke arah Asia-Pasifik yang lebih berdaya tahan, inklusif dan bersedia menghadapi masa depan.”

Mesyuarat MRT ini berlangsung ketika ketidaktentuan global yang berterusan, serta keperluan mendesak bagi rantau Asia-Pasifik untuk mempertahankan multilateralisme, memperkukuh perdagangan bebas dan memperkuat rantaian bekalan. Sehubungan itu, delegasi Malaysia yang diketuai oleh YB Tengku Zafrul akan turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan dagang utama termasuk Menteri-Menteri Perdagangan APEC-ASEAN serta Ketua Pengarah WTO, Dr. Ngozi Okonjo-Iweala. Mesyuarat Tidak Formal Peringkat Menteri bagi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership – CPTPP) juga akan diadakan di sela-sela Mesyuarat MRT ini.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.