Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Terima Pengiktirafan Tadbir Urus Baik Global Di Global Good Governance Awards 2025 Anjuran Cambridge IFA
YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), telah menerima 3G Leadership Award for Government Sector (Individual) 2025 sempena Majlis Anugerah Tadbir Urus Baik Global ke-10 (Anugerah 3G) 2025 yang berlangsung di Brunei Darussalam pada 13 Mei 2025.
Anugerah ini diberikan berdasarkan penilaian profesional oleh Cambridge IFA sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan YB Menteri dalam memperkukuh amalan tadbir urus yang berintegriti, inklusif dan berpaksikan rakyat di Wilayah Persekutuan.
Sebanyak 19 penerima daripada 15 buah negara telah diraikan dalam majlis berprestij ini, yang menghimpunkan tokoh-tokoh utama daripada sektor kerajaan dan korporat dari seluruh dunia, termasuk Petronas Dagangan Berhad dan Kastam Dubai.
Anugerah ini telah disampaikan oleh Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam dan disaksikan oleh Profesor Dr. Humayon Dar, Pengerusi Cambridge IFA.
Pengiktirafan antarabangsa ini turut mencerminkan komitmen Malaysia secara amnya, dan Wilayah Persekutuan secara khususnya, dalam memajukan reformasi pentadbiran sektor awam serta menyokong prinsip kelestarian bandar selaras dengan nilai-nilai Malaysia MADANI.
Majlis penganugerahan ini merupakan sebahagian daripada Sidang Kemuncak Tadbir Urus Baik Global 2025 anjuran Cambridge IFA, dengan kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), bertemakan “Transformative Governance for Health, Environment and Community Sustainability”.Anugerah 3G dinilai berdasarkan kriteria impak, ketelusan, inovasi serta tanggungjawab sosial, sekali gus mengiktiraf individu dan organisasi yang memperjuangkan tadbir urus progresif dan beretika.
Pengiktirafan ini turut menjadi pemangkin kepada usaha berterusan memperkukuh tata kelola berasaskan nilai, selaras dengan aspirasi Wilayah Persekutuan sebagai peneraju tadbir urus progresif dan berfokus rakyat.