Siakap Keli
Trump hadiah mahal Qatar
Gambar: AFP

Respon Trump Selepas Terima Hadiah Mahal Dari Qatar, Jadi Tumpuan

Respon Trump Selepas Terima Hadiah Mahal Dari Qatar, Jadi Tumpuan

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mencetuskan kontroversi apabila dipercayai bersetuju menerima sebuah pesawat jet Boeing 747-8 bernilai AS$400 juta (sekitar RM1.7 bilion).

Pesawat itu dikatakan ditawarkan oleh keluarga diraja Qatar untuk dijadikan sebagai pesawat Air Force One baharu.

Trump, 78, menyifatkan tawaran tersebut sebagai satu “isyarat yang hebat” dan menegaskan bahawa menolaknya adalah tindakan yang “bodoh”

“Saya tidak akan menjadi orang yang menolak tawaran seperti itu. Saya mungkin bodoh kalau saya cakap ‘tidak, kami tidak mahu pesawat percuma yang sangat mahal’,” katanya kepada wartawan di Rumah Putih.

Timbul isu etika dan keselamatan

Menurut Economic Times, tawaran tersebut telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar keselamatan dan ahli politik AS.

Hal ini kerana perlembagaan negara itu melarang mana-mana pegawai kerajaan daripada menerima hadiah daripada raja atau negara asing tanpa kelulusan rasmi daripada Kongres.

Pesawat Air Force One bukan sekadar kenderaan rasmi Presiden, malah berfungsi sebagai pusat kawalan bergerak dalam situasi kecemasan, termasuk serangan ke atas negara.

Maka, penggunaan pesawat yang disumbangkan oleh kuasa asing menimbulkan risiko keselamatan yang besar.

Tambah Economic Times, empat senator Demokrat dari Jawatankuasa Hubungan Luar Negeri Senat mengeluarkan kenyataan mengkritik tindakan tersebut.

“Mana-mana presiden yang menerima hadiah bernilai AS$400 juta daripada kerajaan asing mencetuskan konflik kepentingan yang jelas. Ia turut mengundang pengaruh asing, membangkitkan persoalan keselamatan negara yang serius, dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan,” kata mereka.

Senator Chris Murphy malah menyifatkan tindakan itu sebagai “rasuah tahap nuklear” dan berjanji akan menyekat sebarang penjualan senjata kepada negara yang “berurus niaga secara peribadi” dengan Trump.

Qatar nafi beri hadiah

Bagi meredakan ketegangan, jurucakap media Qatar di Washington, Ali Al-Ansari, menjelaskan bahawa pesawat itu bukanlah hadiah rasmi. Sebaliknya, ia hanya pertimbangan sementara antara Kementerian Pertahanan Qatar dan Jabatan Pertahanan AS.

Sementara itu, jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, turut menegaskan bahawa tawaran pesawat tersebut masih dalam proses perundangan dan akan mematuhi undang-undang sepenuhnya.

“Kami komited terhadap ketelusan sepenuhnya dalam semua bentuk sumbangan kepada kerajaan ini,” katanya kepada Fox News, seperti dilapor Economic Times.

Di sisi lain, Trump turut menolak dakwaan bahawa beliau akan menggunakan pesawat itu untuk kegunaan peribadi selepas tamat tempoh perkhidmatannya.

Sebaliknya, beliau bercadang untuk meletakkannya sebagai pameran tetap di Perpustakaan Presiden beliau, sebagaimana jet Air Force One lama yang dipamerkan di Perpustakaan Ronald Reagan.

Untuk info, Trump sebelumnya pernah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan dan kos tinggi dalam kontrak Boeing untuk dua pesawat Air Force One baharu, yang masih dalam pembangunan sejak pentadbiran terdahulu.

BACA: Lawatan Xi ke Vietnam Undang Reaksi Mengejutkan Trump

BACA: Trump Umum Tarif 100 Peratus Terhadap Filem Luar Negara

BACA: Badan Penerbangan PBB Putuskan Rusia Bertanggungjawab Insiden MH17 Ditembak Jatuh – Laporan

Sumber: Economic Times

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.