RM18.5 Juta Nilai Rampasan Dadah Dicatatkan Maritim Malaysia Dalam Tempoh Dua Tahun
PUTRAJAYA, 13 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperhebat kawalan sempadan perairan negara dalam usaha mengekang sindiket jenayah rentas sempadan, khususnya penyeludupan dadah yang semakin licik dan kompleks.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, sindiket dadah dilihat menggunakan perairan Malaysia sebagai laluan utama penyeludupan, namun ketegasan Maritim Malaysia berjaya mengekang banyak cubaan.
“Berdasarkan data operasi dari tahun 2023 hingga Mei 2025, Maritim Malaysia telah berjaya merampas dadah bernilai lebih RM18.5 juta, melibatkan 95.4 kilogram pelbagai jenis dadah seperti Methamphetamine, Ganja, Ecstacy dan Yaba, serta 179 liter cecair kimia prekursor dadah sintetik.
“Sekurang-kurangnya 15 individu telah diberkas dan kini disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri anjuran bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Putrajaya pagi tadi.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik bin Jeman serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi di bawah kementerian.
Datuk Haji Mohd Rosli dalam pada itu menegaskan, sejak penubuhan Maritim Malaysia pada 2005, agensi itu telah melaksanakan pelbagai bentuk rondaan dan operasi di lokasi hotspot yang dikenal pasti sebagai laluan aktif sindiket penyeludupan, termasuk di sempadan maritim negara.
“Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi Menteri Dalam Negeri yang mahu semua agensi di bawah KDN terus memperkukuh tindakan menyekat penularan jenayah dadah yang telah menular ke dalam masyarakat selama lebih empat dekad,” katanya lagi.
Selain penguatkuasaan di laut, Maritim Malaysia juga aktif melaksanakan operasi di kawasan komuniti maritim dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), terutamanya di perkampungan nelayan yang terdedah kepada ancaman pengedaran dan penagihan dadah.
“Tidak hanya operasi di laut, kami juga ‘turun padang’ ke kampung-kampung nelayan demi memastikan ancaman ini tidak terus merebak kepada generasi muda di kawasan tersebut,” jelas beliau.
Selain AADK, Maritim Malaysia turut menjalinkan kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) serta pelbagai agensi lain dalam memperkukuh jaringan risikan dan menjalankan operasi bersepadu secara berterusan bagi mengekang isu tersebut.