Siakap Keli
TV AlHijrah Lancar Program Haji 1446H Dengan Tema Menyahut Panggilan-Mu
Gambar Hiasan

TV AlHijrah Lancar Program Haji 1446H Dengan Tema Menyahut Panggilan-Mu

TV AlHijrah Lancar Program Haji 1446H Dengan Tema Menyahut Panggilan-Mu

KUALA LUMPUR,13 Mei 2025 – TV AlHijrah hari ini melancarkan Kempen Program Haji 1446H dalam satu majlis yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar. Kempen haji tahun ini mengangkat tema Menyahut Panggilan-Mu sebagai lambang ketaatan, pengorbanan dan kerinduan setiap jiwa untuk menjadi tetamu Allah di Tanah Suci.

Pelancaran ini turut dihadiri oleh Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair bin Ngadiron, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Bin Harris, barisan kepimpinan TV AlHijrah, para asatizah dan personaliti, rakan strategik korporat serta wakil IDEAS Autism Centre.

Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar dalam ucapannya menyatakan bahawa pelancaran ini bukan sekadar peluncuran kandungan rancangan baharu bersempena musim haji, tetapi ia merupakan satu permulaan kepada perjalanan intelektual dan spiritual seluruh rakyat Malaysia.

“TV AlHijrah berperanan sebagai jambatan nurani yang menyampaikan bukan hanya visual, tetapi roh dan penghayatan terhadap ibadah agung ini.

“Program haji  ini hadir tepat pada waktunya bagi membimbing masyarakat melalui naratif yang membumi, visual yang menyentuh jiwa, dan kandungan yang sarat nilai ketuhanan serta kemanusiaan seiring aspirasi Kerajaan MADANI dalam mengangkat martabat insan,” jelas beliau.

Beliau berkata, antara rancangan utama yang akan menghiasi musim haji 1446H di TV AlHijrah ialah Alumni Haji, iaitu program yang menampilkan kisah pengalaman para jemaah disulami dengan tadabbur Al-Quran, yang disiarkan setiap Isnin hingga Rabu pada jam 6:30 petang. Program Labbaikallah 2025 pula mengetengahkan kisah dan nostalgia haji bersama Shamsul Ghau Ghau, bersiaran setiap Isnin hingga Khamis pada jam 9:00 malam. Seterusnya, rancangan 30 Minit Bersama Prof. Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah memberikan pengisian ilmu haji secara padat dan ringkas setiap Selasa pada jam 8:30 malam.

Selain itu, program Kisah Mutawif yang disiarkan setiap Jumaat dan Sabtu pada jam 9:00 malam membawakan pengalaman serta cabaran yang dihadapi oleh para mutawif dalam membimbing jemaah haji. Program khas Munajat Arafah pula akan ditayangkan pada hari Jumaat, 6 Jun 2025, jam 5:00 petang, dengan penglibatan Profesor Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh serta barisan asatizah terkemuka tanah air.

Dokumentari Umrah Yatim Palestin bakal membawa penonton menelusuri perjalanan 750 anak Palestin menunaikan umrah melalui darat pula akan disiarkan pada hari Sabtu dan Ahad, 7 dan 8 Jun 2025, jam 5:30 petang. Sementara itu, telefilem istimewa Bilal dan Abah yang mengisahkan perjuangan dan inspirasi seorang pemuda OKU dalam menzahirkan kecintaan kepada Islam akan menemui penonton pada hari Ahad, 8 Jun 2025, jam 9:00 malam. Telefilem ini membariskan artis hebat tanah air seperti  Azhan Rani, Ummi Nazeera, Harun Hashim, Luqman Hafidz dan ramai lagi.

TV AlHijrah turut menerima pujian Menteri Agama atas usaha dan kesungguhan stesen ini dalam menyantuni para Duyufurrahman seawal Syawal lagi dengan menyiarkan program Interaktif Haji hingga menerima sambutan luar biasa di pelbagai platform digital termasuk TikTok dan Facebook Live.

“Sejak awal Syawal, TV AlHijrah telah menyiarkan program Interaktif Haji yang dikendalikan secara langsung oleh Ustaz Harryanto Rizal, Ustazah Ayu Suhana Merican dan Ustazah Yusnah Yusuff. Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, disiarkan serentak di televisyen, TikTok, dan Facebook Live, kerana ia menjadi pecutan terakhir dalam persiapan rohani dan praktikal untuk ibadah haji.

“Saya percaya rancangan-rancangan Haji yang dibawakan oleh TV AlHijrah tahun ini bukan sekadar tontonan bermusim, tetapi akan menjadi pencetus keinsafan, pencambah ilmu dan pembina jiwa,  bukan sahaja untuk bakal jemaah, tetapi untuk seluruh rakyat yang mendambakan ketenangan dan hidayah dalam kehidupan,” jelasnya.

Selain itu, kejayaan TV AlHijrah dalam musim haji tahun lalu turut menjadi pencetus kepada kempen tahun ini. Lebih 9 juta jumlah tontonan direkodkan bagi keseluruhan kandungan Haji, menyaksikan peningkatan syer tontonan sebanyak 40%. Ini membuktikan minat mendalam rakyat Malaysia terhadap pengisian keagamaan yang bersifat mendidik, reflektif dan berimpak tinggi.

Program-program seperti Labbaikallah, Munajat Arafah dan Peristiwa Haji mencatat peningkatan lebih 40% dalam rating, manakala program baharu Podcast Haji berjaya meraih lebih 2 juta tontonan, sekaligus mengukuhkan keberkesanan pendekatan TV AlHijrah dalam menyampaikan kandungan Islam secara moden dan inklusif.

TV AlHijrah juga cemerlang apabila saluran ini berjaya mencatatkan peningkatan syer tontonan sebanyak 21% berbanding tahun sebelumnya, serta menduduki tempat ketiga tertinggi dalam kalangan penonton Melayu pada minggu pertama Ramadan lantas menjadi pencapaian mingguan terbaik sejak penubuhannya.

Mengakhiri ucapannya, beliau berkeyakinan bahawa semoga program haji 1446H di TV AlHijrah mampu menjadi antara usaha dakwah paling signifikan dan menjadikan TV AlHijrah bukan sekadar stesen penyiaran, tetapi madrasah rohani buat rakyat Malaysia menuju Allah SWT.

Sepanjang kempen haji ini, TV AlHijrah kekal komited menyajikan kandungan rohani yang mendidik dan membimbing masyarakat, selari dengan matlamat Pelan Al-Falah yang diperkenalkan oleh Menteri Agama. Penonton boleh mengikuti rancangan-rancangan menarik TV AlHijrah melalui saluran TV AlHijrah, aplikasi AlHijrah Plus, platform media sosial rasmi, serta portal AlHijrah Online.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.