Air Selangor Diiktiraf Sebagai Ahli LUOW, Perkukuh Visi di Global Water Summit 2025
Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) melakar pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa menerusi penyertaannya di Global Water Summit 2025, yang berlangsung daripada 12 hingga 14 Mei di Paris. Sidang kemuncak ini menghimpunkan para pemimpin dunia, penggubal dasar dan pakar industri air global dalam usaha untuk menangani cabaran air global serta memacu pengurusan sumber air yang mampan.
Air Selangor kini menempah nama sebagai pengendali perkhidmatan air pertama di Malaysia yang diterima masuk ke dalam rangkaian terkemuka dunia, Leading Utilities of the World (LUOW). Pada hari kedua Global Water Summit, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali, menyampaikan pembentangan yang menonjolkan teras kekuatan Air Selangor dalam pengurusan operasi rangkaian, kecekapan rawatan serta kualiti air dan juga integrasi teknologi maklumat dan sistem air pintar sebagai sebahagian daripada penilaian keahlian LUOW. Pembentangan tersebut menggariskan komitmen berterusan Air Selangor terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam pengurusan perkhidmatan air.
Mengukuhkan lagi profil Air Selangor di peringkat global, Projek Digital Twin di Loji Rawatan Air Semenyih 2 telah disenarai pendek bagi kategori “Water Project of the Year” di Global Water Awards 2025, anjuran Global Water Intelligence (GWI). Anugerah ini, yang disampaikan setiap tahun sempena Global Water Summit, mengiktiraf kecemerlangan dan inovasi dalam industri air global serta memberi tumpuan kepada projek yang menyumbang kepada kelestarian dan keberkesanan operasi.
Projek ini mempamerkan impak positif penggunaan teknologi canggih dalam operasi rawatan air. Dengan gabungan pemantauan masa nyata, analisis ramalan serta operasi automatik, loji ini mampu beroperasi dari mula hingga tamat dengan keperluan intervensi manusia yang minimum. Dengan pengeluaran purata 100 juta liter air sehari serta peningkatan kecekapan sehingga 20% yang disasarkan, projek ini menetapkan standard baharu dalam kecekapan dan kebolehpercayaan sistem rawatan air.
Projek ini turut diiktiraf bersama nama-nama besar industri seperti Loji Rawatan Modular Anabu di Filipina, O Casal WTP di Sepanyol, dan Projek Pengembangan Yiwu No. 3 WTP di China. Pengiktirafan ini bukan sekadar meraikan teknologi, tetapi juga peranan Air Selangor dalam membentuk landskap masa depan infrastruktur air pintar peringkat global.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, “Penyertaan Air
Selangor dalam LUOW dan pencalonan terhadap Projek Digital Twin kami merupakan detik bersejarah buat Air Selangor. Ia bukan sahaja mengiktiraf usaha kami dalam mendigitalkan perkhidmatan air, malah menyuntik semangat untuk terus memacu inovasi dan menetapkan piawaian baharu dalam industri ini.”
“Penyertaan dalam platform global seperti Global Water Summit ini membolehkan kami untuk sentiasa mempertingkatkan perkhidmatan menerusi penggunaan teknologi inovatif serta amalan terbaik yang seiring dengan visi kami untuk menyediakan perkhidmatan air yang mampan dan berdaya tahan,” tambah Adam.
Penyertaan aktif Air Selangor di Global Water Summit 2025 merupakan sebahagian daripada usaha strategik ke arah merealisasikan visi Air Selangor – untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030. Dengan pengalaman dan amalan terbaik yang diperoleh dari Global Water Summit ini, Air Selangor terus komited untuk memperkukuh kualiti perkhidmatan kepada lebih 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.