Altera Malaysia Raikan 30 Tahun Pelopori Inovasi dan Pertumbuhan di Pulau Pinang
PULAU PINANG, 14 Mei 2025 – Altera Malaysia dengan bangganya menyambut ulang tahunnya yang ke-30 pada tahun ini, meraikan kejayaan selama tiga dekad mempelopori inovasi teknologi dan pembangunan bakat dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia yang dinamik. Ditubuhkan pada 1995, Altera Malaysia ialah cawangan global utama Altera Corporation, syarikat peneraju teknologi FPGA (Susunan Gerbang Boleh Diatur Cara Lapangan) yang berpangkalan di AS.
Lokasi di Pulau Pinang telah berkembang maju selama ini untuk menjadi penyumbang utama kepada operasi global Altera, dengan menyokong pelbagai jenis fungsi yang kritikal kepada perniagaan termasuk reka bentuk semikonduktor, pengilangan, pembangunan platform dan aplikasi, kejuruteraan perisian, kewangan, pemasaran, perancangan dan sumber manusia.
Altera Malaysia telah menganjurkan majlis makan malam gala pada 8 Mei 2025 di Bayview Beach Resort, Pulau Pinang untuk meraikan mercu jaya ini. Majlis tersebut dihadiri oleh lebih 800 kakitangan yang telah menyaksikan persembahan menghiburkan dan mendengar ucaptama yang disampaikan oleh Ruban Kanagaratnam, Naib Presiden dan Pengarah Urusan Altera Malaysia.
Dalam ucapannya, Ruban merakamkan setinggi-tinggi penghargaannya kepada kakitangan Altera Malaysia atas dedikasi mereka selama lebih 30 tahun. Beliau mengimbas kembali pertumbuhan Altera Malaysia daripada permulaan kecil menjadi kuasa yang memacu inovasi teknologi.
“Hari ini menandakan satu mercu jaya penting dalam pertumbuhan inovasi dan impak global Altera. Selama 30 tahun, Altera Malaysia telah meneroka sempadan inovasi semikonduktor, meletakkan Altera di hadapan untuk memacu peralihan teknologi meliputi pusat data, infrastruktur komunikasi, aplikasi terbenam dan pinggiran. Kami bersedia menempuh masa depan, dengan komitmen berterusan kepada misi untuk menjadikan Altera penyedia penyelesaian FPGA #1.”
Meninjau ke hadapan, Altera Malaysia bercadang untuk mengukuhkan pelaburan dalam bakat kejuruteraan tempatan, menjalin kerjasama dengan para pemimpin akademik dan industri dan memberikan sumbangan bermakna untuk mencapai matlamat digital dan perindustrian Malaysia.