Gabungan IKB & KPBKL Tak Timbul Kos Tambahan, Fokus Perkasakan Pendidikan Asnaf
Langkah penyatuan Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) bersama Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) di bawah seliaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tidak akan menimbulkan sebarang perbelanjaan tambahan.
Sebaliknya, inisiatif ini menyasarkan penggunaan sepenuhnya aset dan kemudahan sedia ada demi meningkatkan kualiti pendidikan untuk pelajar asnaf.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar,berkata penyelarasan ini bukan sekadar perubahan nama, tetapi satu usaha serius bagi memperkasa institusi pendidikan milik MAIWP melalui penjenamaan baharu sebagai Kolej Profesional (KP) MAIWP.
“Ada yang mendakwa penggabungan ini membuka ruang salah guna wang zakat, tetapi hakikatnya ini satu strategi bagi memastikan dana zakat disalurkan terus kepada manfaat pendidikan golongan yang memerlukan,” katanya. Menurut beliau, pendekatan ini juga tidak menuntut sebarang peruntukan baharu daripada kerajaan kerana ia bergantung sepenuhnya kepada fasiliti dan tenaga kerja yang sudah pun tersedia dalam kedua-dua institusi.
“Contohnya, pelajar IKB yang sebelum ini tiada pusat sumber boleh memanfaatkan pusat sumber yang ada di bangunan KPBKL,” ujarnya selepas menghadiri majlis penstrukturan rasmi IKB di bawah naungan KPBKL, hari ini.
Datuk Dr Na’im turut menjelaskan bahawa keputusan ini bukan dibuat secara tergesa-gesa. Ia lahir daripada penelitian menyeluruh melibatkan pelbagai pihak termasuk pakar pendidikan serta mengambil kira dasar kerajaan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Penstrukturan ini telah melalui proses kajian terperinci. Ia juga selari dengan pelan rasionalisasi kerajaan dalam memastikan institusi pendidikan kekal relevan dan bersaing,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penyatuan ini akan memberi manfaat besar kepada pelajar asnaf, termasuk peningkatan dalam modul pembelajaran, pengiktirafan kelayakan, serta peluang kerjaya yang lebih luas.
“Mana-mana pihak yang mempertikai usaha ini sebenarnya sedang menolak keputusan yang telah dipersetujui oleh Kabinet dan diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda,” tegasnya.Untuk rekod, KPBKL telah melahirkan lebih 18,000 graduan sejak ia ditubuhkan lebih tiga dekad lalu, dan kini akan terus berkembang di bawah identiti baharu KP MAIWP dengan misi pendidikan yang lebih menyeluruh dan strategik.