Nahas FRU: Isteri Koperal Syed Isfan Kongsi Keadaan Terkini Suami
Seorang wanita dipercayai isteri kepada salah seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Koperal Syed Isfan Syed Mohammad yang terlibat nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam pada Selasa berkongsi keadaan terkini suaminya.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Rasidah Suhada Zulkifli, Syed Isfan telah menjalani tiga pembedahan melibatkan pelbagai kecederaan yang dialaminya.
“Syed dia dah lalui tiga pembedahan. Bahagian perut dan dada sebab usus dia naik ke atas himpit paru-paru hati dan limpa.
“Alhamdulillah doktor berjaya betulkan semua kedudukan organ tu ke asal. Tulang rusuk empat retak yang tu doktor tak boleh buat apa mungkin akan sembuh dengan sendiri.
“Pundi kencing dia ada tiga bahagian bocor dan dah terkena jangkitan kuman. Doktor dah masukkan tiub stand dalam saluran antara buah pinggang dan pundi kencing, dan tebuk tiub bahagian luar. Sekarang dia kencing ikut tiub, saluran kencing biasa masih rosak lagi. Mungkin ambil masa untuk doktor bedah pula bahagian tu.
“Tulang pinggul patah. Doktor dah masukkan stand besi tapi tak dapat nak bedah yang bahagian mangkuk pinggul yang patah tu lagi. Kena tunggu dia stabil dulu,” tulisnya dalam hantaran itu.
Menurut Rasidah, dia memohon orang ramai mendoakan keadaan suaminya kembali sihat.
“Doakan dia, saya tak mampu nak balas satu-satu. Cuma dapat ringkaskan dekat sini.
“InsyaAllah dia kuat. Mungkin semalam saya sedih dan bimbang tapi hari ini saya reda dan bersyukur sebab ada keajaiban berlaku. Berkat dari doa semua.
“Kalau ikutkan banyak risiko dia kena lalui tapi kuasa Allah semua risiko pendarahan, risiko buang limpa dan risiko potong usus, dapat doktor tangani. Semua berjalan dengan lancar,” luahnya.
Jelasnya, Syed Isfan masih perlu menjalani dua lagi pembedahan namun perlu menunggu keadaannya kembali stabil.
Semalam, seramai sembilan anggota FRU meninggal dunia selepas trak yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori dalam kejadian 8.50 pagi Selasa di Jalan Chikus-Sungai Lampam.
Sumber: Facebook Rasidah Suhada Zulkifli