Siakap Keli
RM100,000 Disalurkan kepada 5 Sekolah di Parlimen Sepang Melalui Kerjasama URBANICE Malaysia dan Parlimen Sepang
Gambar Hiasan

RM100,000 Disalurkan kepada 5 Sekolah di Parlimen Sepang Melalui Kerjasama URBANICE Malaysia dan Parlimen Sepang

RM100,000 Disalurkan kepada 5 Sekolah di Parlimen Sepang Melalui Kerjasama
URBANICE Malaysia dan Parlimen Sepang

Sepang, 14 Mei 2025 – Pusat Khidmat Ahli Parlimen P.113 Sepang telah menyalurkan RM100,00 kepada 5 sekolah di Parlimen Sepang bagi Projek Transformasi Ruang Sekolah bagi inisiatif Projek Mesra Rakyat (PMR) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui agensinya URBANICE Malaysia.

Majlis penyerahan projek telah disempurnakan oleh YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu, Timbalan Menteri KPKT, bertempat di SMK Sungai Pelek. Inisiatif ini seiring dengan aspirasi KPKT untuk membawa elemen pembangunan mampan dan inklusiviti ke dalam komuniti melalui pendekatan berfokus rakyat yang melibatkan ruang komuniti, ruang sekolah dan ruang bandar.

Bagi parlimen Sepang, URBANICE Malaysia mengambil peluang untuk menfokuskan inisiatif ini kepada ruang sekolah. Inisiatif ini membuktikan bahawa pendekatan berimpak tinggi tidak semestinya memerlukan perubahan besar tetapi boleh dicapai menerusi transformasi mikro yang berstrategi dan kreatif, dengan tumpuan kepada keperluan sebenar murid dan guru.

Lima sekolah telah menerima sokongan pembiayaan dan teknikal bagi melaksanakan transformasi berikut:
SMK Sungai Pelek – Dewan Kuliah ditransformasikan kepada Ruang Transformasi Pelbagai Guna yang menyokong pembelajaran fleksibel dan kolaboratif.
SK Dengkil – Bilik Seni dan Tari ditukar menjadi ruang perkongsian STEM dan muzik untuk menjadikan ruang ini titik tumpu kepada inovasi murid.
SK Tanjong Sepat – Ruang legar berumput dinaik taraf kepada Tapak Keusahawan bagi memperkasakan aktiviti Kelab Usahawan sekolah yang kian aktif, serta memupuk minat keusahawanan sejak usia muda.
SK Kota Warisan – Sebuah Sudut STEM diwujudkan di Bilik Pemulihan, manakala Dataran Perhimpunan diperindah dengan elemen visual Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk mendidik murid tentang kemampanan.
SK Cyberjaya – Sebuah Mini Playground dibina di kawasan lapang sedia ada sebagai penyelesaian kreatif kepada ketiadaan padang sendiri bagi memastikan murid mendapat akses kepada aktiviti fizikal dan riadah.

Menurut YB Datuk Hajah Aiman Athirah, inisiatif ini mencerminkan hasrat KPKT untuk memastikan pembangunan fizikal turut menyokong pembangunan insan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Transformasi sebegini bukan sahaja memberi wajah baharu kepada ruang sekolah, tetapi lebih penting, mengubah cara murid berinteraksi dan melihat ruang sekeliling mereka. Apabila murid rasa dihargai dan diilhamkan oleh persekitaran mereka, pembelajaran menjadi lebih bermakna. Ini adalah asas kepada komuniti yang maju dan berdaya saing.”

Inisiatif ini menjadi sebahagian daripada usaha URBANICE Malaysia untuk menyokong agenda kemampanan KPKT dengan menyasarkan sekolah sebagai pusat perubahan dan inspirasi dalam komuniti.

URBANICE Malaysia komited untuk terus memperkasa komuniti sekolah melalui pendekatan reka bentuk berimpak tinggi yang memupuk kesejahteraan, daya cipta dan semangat pembelajaran dalam kalangan generasi muda. Sekolah bukan hanya tempat menimba ilmu, tetapi nadi perubahan yang mampu mencorak masa depan masyarakat dan negara.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.