Siakap Keli
Seminar Kebangsaan: Penambahbaikan Akta 482 Perkukuh Tadbir Urus Industri Pelancongan Negara
Gambar : Bernama

Seminar Kebangsaan: Penambahbaikan Akta 482 Perkukuh Tadbir Urus Industri Pelancongan Negara

Seminar Kebangsaan: Penambahbaikan Akta 482 Perkukuh Tadbir Urus Industri Pelancongan Negara

Putrajaya, 14 Mei 2025 – Selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh tadbir urus serta memperkasa industri berimpak tinggi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menganjurkan Seminar Kebangsaan bagi Kajian Keberkesanan Kawal Selia dalam Mendepani Isu dan Cabaran Industri Pelancongan di Malaysia bertempat di The Everly Hotel, Putrajaya. Seminar ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Ketua Setiausaha MOTAC.

Seminar berkenaan dihadiri oleh seramai 102 peserta yang terdiri daripada wakil agensi Kerajaan dan pemain industri pelancongan. Ia merupakan wadah penting untuk memaklumkan hasil kajian berhubung cadangan pindaan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) kepada semua pihak berkepentingan. Sesi ini turut bertujuan mendapatkan maklum balas bagi memastikan proses semakan semula akta tersebut dilaksanakan secara inklusif dan mengambil kira pandangan semua pihak.

Kajian semakan semula Akta 482 telah dimulakan pada Ogos 2023 melalui pelaksanaan 54 sesi libat urus yang melibatkan hampir 1,000 pemegang taruh termasuk wakil-wakil kementerian, agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri pelancongan dari dalam dan luar negara. Antara cadangan pindaan utama termasuklah penambahbaikan aspek pelesenan, perlindungan insurans, pemantapan penguatkuasaan, pendaftaran platform digital serta penubuhan Tribunal Pelancongan. Pindaan akta ini dijangka selesai pada suku pertama tahun 2026.

MOTAC yakin bahawa pindaan Akta 482 akan melonjakkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang mampan, selamat, kaya budaya dan berdaya saing, sejajar dengan prinsip inklusif dan reformasi yang digariskan di bawah gagasan Malaysia MADANI, khususnya sempena pelaksanaan Kempen Melawat Malaysia 2026.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.