UNFF20: Malaysia Galas Peranan ASEAN Dalam Pengurusan Hutan Secara Berkekalan
NEW YORK — Mesyuarat 20th Session of the United Nations Forum on Forests (UNFF20) melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama lima hari bermula 5 Mei di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York baru-baru ini.
Difahamkan, lebih 300 perwakilan dari lebih 70 negara hadir dalam mesyuarat ini.
Antara topik yang dibincangkan adalah kemajuan, cabaran dan pengalaman negara anggota berhubung keutamaan tematik di bawah UNFF termasuk United Nations Strategic Plan for Forests 2030 (UNSPF), Collaborative Partnership on Forests (CPF) serta organisasi berkepentingan lain.
Malaysia, melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), hadir sebagai peneraju dalam pengurusan hutan secara berkekalan (PHSB) atau Sustainable Forest Management (SFM).
Delegasi Malaysia membawa mandat untuk melindungi kepentingan negara dalam sektor perhutanan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia memainkan peranan penting dalam membawa suara serantau khususnya mempertahankan kepentingan negara anggota dalam pelaksanaan amalan PHSB serta memperjuangkan akses kepada sumber kewangan global seperti Bank Dunia dan Global Environment Facility (GEF).
Usaha ini turut merangkumi pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti kepada negara anggota ASEAN serta negara membangun lain dalam usaha memelihara dan memulihara khazanah hutan dunia.
Dalam masa yang sama, Malaysia turut menzahirkan komitmen berterusan dalam mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus hutan daripada keseluruhan keluasan tanah negara sebagaimana komitmen yang dinyatakan pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992.
Setakat ini, Malaysia telah mencapai 54.31 peratus atau 17.97 juta hektar kawasan berhutan dan berlitupan pokok yang meliputi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Dalam mesyuarat UNFF20, delegasi Malaysia turut menyertai sesi perbincangan mengenai inisiatif baharu oleh Kerajaan Brazil, iaitu Tropical Forests Forever Facility (TFFF), sebagai model pendanaan alternatif untuk sektor perhutanan di negara-negara tropika.
Malaysia melihat TFFF sebagai inisiatif berpotensi dalam memperluaskan akses kepada pembiayaan bagi menyokong PHSB khususnya dalam kalangan negara ASEAN.
Selain itu, Malaysia juga sedang giat membangunkan nilai ekonomi baharu melalui amalan PHSB termasuk menerusi perdagangan kredit karbon.
Malaysia Forest Fund (MFF) telah membangunkan protokol Forest Carbon Certificate (FCC) dan Forest Carbon Offset (FCO) sebagai usaha awal meneroka potensi pasaran karbon domestik.
Disamping itu, Bursa Malaysia pula telah memulakan pelaksanaan transaksi perdagangan karbon secara sukarela melalui platform Voluntary Carbon Market (VCM).
Sebagai langkah selanjutnya, satu rang undang-undang berkaitan perubahan iklim sedang dirangka dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Undang-undang ini bertujuan mewujudkan kerangka perundangan yang sistematik dan menyeluruh bagi menyokong pembangunan pasaran kredit karbon negara, selaras dengan prinsip Perjanjian Paris di bawah UNFCCC.
Malaysia juga telah memperkenalkan beberapa dasar utama peringkat nasional dalam memperkukuh pengurusan alam sekitar seperti Dasar Perhutanan Malaysia, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022–2030 dan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam mengarusperdanakan kepentingan alam sekitar dalam dasar dan perancangan pembangunan negara seiring dengan aspirasi nasional dan kerjasama antarabangsa.
Secara keseluruhan, UNFF20 telah berjaya mengukuhkan jaringan kerjasama antara negara anggota dan organisasi antarabangsa, mempercepatkan pelaksanaan UNSPF serta memperluas akses kepada pembiayaan dan memperkasakan suara negara membangun termasuk Malaysia dalam arena perhutanan global.