Automechanika Kuala Lumpur 2025 Tumpu Peralihan Tenaga Dan Penggunaan Teknologi Terkini Dalam Industri Automotif
KUALA LUMPUR, 15 Mei 2025 – Pameran perdagangan automotif berprestij, Automechanika Kuala Lumpur 2025 (AMKL2025), membuka tirainya secara rasmi hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dengan penyertaan 311 pempamer dari 21 negara. Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI), Faizal Mohd Yusof.
Diadakan dari 15 ke 17 Mei, pameran tahun ini diperluas ke enam dewan lantas mencerminkan permintaan yang semakin meningkat serta minat mendalam terhadap sektor automotif Malaysia, mengambil peluang kepengerusian ASEAN 2025 untuk menonjolkan peranan Malaysia sebagai peneraju industri pembangunan automotif serantau.
Pameran tiga hari ini mempamerkan pelbagai jenis kenderaan termasuk model pasaran domestik Jepun (JDM), kereta klasik dan kereta modifikasi audio. Gabungan elemen perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan pengguna ini memberikan gambaran holistik tentang industri yang semakin matang. Antara jenama terkemuka yang mengambil bahagian termasuk Alienworld, Areon, Emerald, EV Connection, Kineta, Hans Tools, King Hup Motors, Rimbunan Kuasa, Launch, OBD, Schmaco, TecAlliance, Vanli, dan YonMing Group.
Salah satu tarikan utama ialah bengkel latihan praktikal dalam baik pulih kemalangan, merangkumi teknologi enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan tenaga baharu (NEV). Bengkel ini turut mengetengahkan aspek keselamatan kenderaan elektrik (EV), pembaikan voltan tinggi serta demonstrasi langsung mengecat kenderaan – sejajar dengan aspirasi kerajaan ke arah pelepasan bersih sifar karbon.

Sejurus majlis pembukaan, beberapa sesi dialog dan perbincangan dasar turut berlangsung, menyentuh topik kelestarian dan daya saing serantau dalam sektor automotif. Persidangan Automotive Mobility Solutions menjadi platform utama bagi perbincangan mendalam mengenai peralihan tenaga, elektrifikasi dan pendigitalan, iaitu tiga tonggak utama masa depan mobiliti di ASEAN.
Forum-forum tersebut menekankan keperluan industri untuk menyesuaikan diri dengan perubahan landskap teknologi dan komitmen iklim. Kelestarian bukan sahaja berkait dengan alam sekitar, tetapi turut melibatkan kelangsungan ekonomi jangka panjang, khususnya apabila rantau ini bersiap untuk penggunaan EV yang lebih meluas dan sistem pengangkutan yang lebih pintar.
“Automechanika Kuala Lumpur 2025 membuktikan komitmen Malaysia dalam memacu industri automotif yang mampan,” kata Datuk Hanafi dalam ucapannya. “Dengan menghubungkan syarikat tempatan kepada peneraju global, acara seperti ini membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi dan masa depan yang lebih hijau dan bijak untuk rantau ini.”
Menurut Pengurus Besar Messe Frankfurt (HK) Ltd, Fiona Chiew, “Automechanika Kuala Lumpur telah menjadi medan niaga utama dalam industri automotif tempatan selama lebih 20 tahun. Matlamat kami adalah untuk menyerlahkan kekuatan Malaysia dalam rantaian bekalan serta mewujudkan pintu masuk ke pasaran antarabangsa.”

Sementara itu, autoFEST@KL, komponen lebih mesra pengguna, menarik perhatian pengunjung umum dengan kombinasi pameran kenderaan yang diubah suai, serta teknologi pasaran selepas jualan. Ia turut menjadi saluran pendidikan yang mudah diakses tentang inovasi pembaikan dan penyelesaian mobiliti yang lestari.
Penyertaan memberangsangkan dalam edisi 2025 mencerminkan minat global yang semakin kukuh terhadap pasaran automotif Malaysia. Bagi syarikat tempatan, acara ini membuka peluang besar untuk meneroka teknologi antarabangsa, memahami piawaian industri terkini, dan membina kerjasama strategik.
Untuk maklumat lanjut mengenai pendaftaran awal dan acara-acara sampingan serentak, sila layari www.automechanika-kl.com.
Dalam masa yang sama, acara bersebelahan iaitu Intelligent Manufacturing Kuala Lumpur turut berlangsung sehingga 16 Mei 2025. Acara ini memberi tumpuan kepada cabaran dan peluang dalam transformasi digital menerusi strategi perancangan, integrasi perisian dan penggunaan perkakasan. Maklumat lanjut boleh didapati di www.myintelligentmanufacturing.com.