Siakap Keli
Maxim Malaysia
Gambar: Maxim Malaysia

Diarah Henti Operasi, Maxim Malaysia Tampil Beri Penjelasan

Diarah Henti Operasi, Maxim Malaysia Tampil Beri Penjelasan

Maxim Malaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa syarikat e-hailing itu kini sedang menjalankan perbincangan aktif bersama pihak berkuasa berkaitan, susulan diarah menghentikan operasi mulai 24 Julai.

Menurut kenyataan itu, langkah ini diambil demi mengekalkan reputasi dan kepercayaan yang telah dibina selama hampir lima tahun beroperasi di Malaysia.

Maxim Malaysia menegaskan bahawa keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan syarikat sejak mula bertapak di negara ini.

Setiap pengguna yang menggunakan aplikasi Maxim dilindungi oleh sistem pemeriksaan dan pemantauan yang ketat bagi memastikan keselamatan dan keselesaan mereka terjamin.

“Dengan lesen perantaraan, Maxim Malaysia menyediakan platform unik yang membolehkan pemandu rakan kongsi, penyedia perkhidmatan, dan pengguna kami berhubung dan mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan.

“Pada masa yang sama, apabila pemandu rakan kongsi mendaftar di aplikasi kami, mereka menjalani pemeriksaan menyeluruh oleh pegawai khusus, yang memastikan mereka mempunyai dokumen yang diperlukan untuk mematuhi garis panduan e-hailing yang ditetapkan oleh APAD/MOT.

“Prosedur pemeriksaan ketat Maxim Malaysia adalah sebahagian daripada ketelusan korporat kami yang sebenarnya menjamin keselamatan awam secara umum,” katanya dalam kenyataan itu.

Tidak hanya itu, sebagai antara peneraju dalam industri e-hailing negara, Maxim Malaysia juga membangunkan teknologi yang mesra pengguna termasuk ciri khas untuk Orang Kurang Upaya (OKU).

“Ini menunjukkan bahawa Maxim Malaysia sentiasa menyokong ekonomi dan budaya inklusif di mana pelbagai penyedia perkhidmatan boleh bekerjasama untuk menyediakan kestabilan kewangan dan sokongan kepada keluarga mereka,” tambahnya.

Selain itu, Maxim Malaysia turut menekankan sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi negara.

“Bagi memastikan pemandu rakan kongsi yang berpotensi dapat memperoleh lesen PSV dengan cepat untuk menyertai platform kami, kami telah bekerjasama dengan beberapa sekolah memandu di seluruh Malaysia.

“Selain itu, Maxim Malaysia juga bekerjasama dengan JPJ untuk memastikan pemandu berpotensi memahami peraturan dan garis panduan lalu lintas di jalan raya Malaysia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Maxim Malaysia memberi jaminan bahawa pihak mereka akan sentiasa mematuhi undang-undang dan bekerjasama erat dengan kerajaan untuk menyelesaikan sebarang isu yang timbul.

Pada masa sama, syarikat juga berhasrat untuk terus melabur dalam pembangunan teknologi tempatan bagi memperkukuh industri e-hailing serta membantu Malaysia melangkah lebih jauh dalam pembangunan ekonomi digital.

Terdahulu, media melaporkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah menghantar surat mengarahkan pemberhentian operasi dua aplikasi e-hailing dari Rusia yang didakwa dijalankan secara haram iaitu InDrive dan Maxim, berkuat kuasa 24 Julai ini.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan bahawa dua syarikat terbabit boleh memfailkan rayuan.

BACA: Maxim E-hailing Membantu Perkembangan Infrastruktur Bandar Di Malaysia

BACA: Maxim E-hailing Memperkenalkan Tariff Untuk Kemudahan Orang Kurang Upaya

BACA: Maxim E-hailing Berkongsi Subsidi Petrol Kepada Lebih 500 Rakan Pemandu

Sumber: Maxim Malaysia

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.