Siakap Keli
LANGKAWI, 19 Mei - Reruai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 bakal mencuri tumpuan pengunjung a
Gambar Hiasan

Teknologi AR Tarikan Terbaharu Maritim Malaysia Di LIMA 2025

Teknologi AR Tarikan Terbaharu Maritim Malaysia Di LIMA 2025

LANGKAWI, 19 Mei – Reruai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 bakal mencuri tumpuan pengunjung apabila buat julung kalinya menampilkan teknologi Augmented Reality (AR) bagi mendekatkan orang ramai dengan dunia penguatkuasaan maritim negara bermula esok.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, dengan bertemakan “Mendekati Komuniti Melalui Teknologi Interaktif”, reruai Maritim Malaysia dijangka menjadi lokasi wajib singgah bagi pelawat korporat serta pengunjung tempatan dan antarabangsa yang ingin merasai sendiri pengalaman berkenaan tugas dan cabaran anggota Maritim Malaysia di laut.

“Tarikan utama reruai Maritim Malaysia pada kali ini adalah Augmented Reality (AR), di mana pengunjung hanya perlu mengimbas di dinding reruai bagi melihat paparan maklumat dan imej interaktif berbentuk tiga dimensi (3D),

“Selain itu, Maritim Malaysia turut membawa Virtual Reality (VR) iaitu simulasi aksi penguatkuasaan yang ‘membawa’ pengunjung bersama anggota Maritim Malaysia menjalankan operasi membanteras jenayah dan melakukan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT),” jelas Datuk Haji Mohd Rosli.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan walkabout bagi melihat persiapan akhir Maritim Malaysia sebelum hari sebenar acara berkenaan berlangsung.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim serta Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah.

Datuk Haji Mohd Rosli turut memaklumkan, model table top aset-aset Maritim Malaysia dalam bentuk miniature yang memaparkan kedudukan kapal-kapal peronda dan aset operasi agensi ini di seluruh perairan negara turut akan menarik perhatian orang ramai.

Ini kerana paparan yang disediakan bakal memberikan penjelasan kepada pengunjung kawasan yang menjadi tanggungjawab Agensi ini dalam menjaga keselamatan maritim negara.

“Bahan interaktif kali ini bukan sahaja memberi pengalaman yang bermakna, malah membuka mata orang ramai terhadap peranan penting Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara,” ujarnya.

Reruai Maritim Malaysia akan dibuka di dua lokasi utama iaitu di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) dan Resorts World Langkawi (RWL) dari 20 hingga 24 Mei 2025 dan akan mula menerima kehadiran pengunjung dari pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.