Keputusan Peperiksaan STAM 2024 Catat Peningkatan, Pencapaian Calon Sekolah KPM Lebih Baik Berbanding STAM 2023
Kementerian Pendidikan (KPM) ingin memaklumkan bahawa seramai 4,507 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2024. Daripada jumlah tersebut, seramai 1,552 (34.4%) calon sekolah KPM, 1,726 (38.3%) calon Sekolah Menengah Agama Negeri, 296 (6.6%) calon Sekolah Menengah Agama Rakyat, 29 (0.6%) calon Sekolah Menengah Swasta manakala 904 (20.1%) calon persendirian.
Keputusan peperiksaan STAM Tahun 2024 telah menunjukkan peningkatan di mana Gred Purata Kebangsaan (GPK) adalah 3.00 mata berbanding 3.09 mata pada tahun 2023, iaitu mengecil sebanyak 0.09 mata.
GPK bagi calon sekolah KPM pada tahun 2024 pula adalah 2.81 mata berbanding 2.91 mata pada tahun 2023, mengecil sebanyak 0.10 mata. Hal ini menunjukkan pencapaian calon STAM sekolah KPM pada tahun 2024 adalah lebih baik berbanding tahun 2023.
Seramai 34 calon berjaya mendapat keputusan Mumtaz dalam semua mata pelajaran STAM.
Terima kasih kepada semua pemeriksa dan petugas peperiksaan yang telah memastikan pengurusan pengendalian peperiksaan STAM Tahun 2024 berlangsung dengan lancar dan teratur.
Setinggi-tinggi tahniah dan selamat maju jaya diucapkan kepada semua calon peperiksaan STAM Tahun 2024.