Bantuan Kewangan RM15,000 Disediakan Untuk Belia Sarawak Ceburi Bidang Keusahawanan
KUCHING, 21 Mei 2025 – Geran Permulaan Perniagaan sehingga RM15,000.00 disediakan untuk menggalakkan belia Bumiputera Sarawak menceburi bidang keusahawanan melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 11 yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp. Malaysia pada tahun ini. Majlis Peluncuran Program TUBE 11 Peringkat Wilayah Sarawak telah dirasmikan oleh YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Bin Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) di Perkampungan Sukan Sarawak (Sarawak Sports Village – SSV) hari ini.
Program TUBE 11 Peringkat Wilayah Sarawak yang dilaksanakan bermula 21 Mei hingga 28 Mei 2025 disasarkan untuk melatih 61 peserta dalam kalangan belia Bumiputera Sarawak tahun ini. Program TUBE 11 yang melibatkan lebih 500 peserta turut dijalankan secara serentak di tiga (3) zon lain iaitu Utara, Pantai Timur dan
Tengah/Selatan manakala program di Sabah telah dilaksanakan pada bulan Februari yang lalu.
Program TUBE bermatlamat memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan belia serta membentuk daya tahan, disiplin dan kepimpinan dalam pengendalian perniagaan. Peserta bukan sahaja bakal didedahkan dengan modul keusahawanan berkaitan strategi perniagaan, pengurusan dan kewangan, malah Program TUBE 11 telah ditambahbaik mengikut trend terkini menerusi topik seperti kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta penerapan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
YB Datuk Amar Haji Awang Tengah dalam ucapannya berkata, “Hasil kajian bagi Program TUBE Tahun 2023 mendapati 3.5% peserta atau TUBERs telah mengeksport produk mereka ke Singapura, Indonesia dan Amerika Syarikat. Manakala, 61% dari mereka yang belum mengeksport produk ke luar negara telah menyatakan minat untuk menembusi pasaran antarabangsa. Justeru, bagi memastikan Program TUBE terus memberi manfaat dan impak maksima kepada belia, penambahbaikan berterusan amatlah penting seperti melalui penekanan tentang penggunaan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ini”.
Sementara itu, YBrs. Encik Rizal Bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia semasa ucapan aluannya pula menekankan tentang sokongan berterusan yang disediakan oleh SME Corp. Malaysia untuk usahawan Belia Bumiputera. Menurut beliau, “SME Corp. Malaysia akan terus komited dalam memantau perkembangan setiap peserta TUBE bermula dari saat mereka tamat latihan, memulakan perniagaan dan seterusnya akan memastikan perniagaan yang lebih dari 2 tahun mempunyai potensi untuk ditingkatkan daripada saiz mikro kepada kecil melalui beberapa program penskalaan yang akan diperkenalkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)”.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2014, Program TUBE telah menyalurkan geran perniagaan berjumlah RM125.84 juta dan melatih seramai 8,653 belia dengan 879 belia yang menerima RM12.65 juta adalah dari Sarawak. Sebanyak 8,312 belia berjaya mendaftarkan perniagaan yang mencatatkan nilai jualan terkumpul sebanyak lebih RM207 juta dan mewujudkan 16,690 peluang pekerjaan.
Dalam majlis yang sama, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah juga telah menyampaikan Surat Tawaran Program TUBE 11 2025 Wilayah Sarawak kepada wakil peserta sebagai simbolik kepada penyertaan dalam Program TUBE tahun ini. Turut hadir semasa Majlis Peluncuran Program TUBE 11 Peringkat Wilayah Sarawak adalah YB Datuk Dr. Ripin Lamat, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, YB Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Bin Jaya, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), YBhg. Dato Sri Haji Mohd Naroden Bin Majais, Penasihat (PKS) MINTRED, YBhg. Dato Ahmad Nadzri Bin Mohd Hassan, Setiausaha Persekutuan Sarawak, YBrs. Encik Dzulkornain Bin Masron, Setiausaha Tetap MINTRED, YBrs. Encik Rizal Bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia dan YBrs.Encik Bell Aggan@Bell Anak Bernard Aggan, Anggota Perbadanan SME Corp. Malaysia.