Siakap Keli
uk gantung perdagangan israel
Kredit: AFP

UK Gantung Rundingan Perdagangan Bebas Dengan Israel, Kecam Krisis Gaza Sebagai ‘Keji’

UK Gantung Rundingan Perdagangan Bebas Dengan Israel, Kecam Krisis Gaza Sebagai ‘Keji’

LONDON, 20 Mei (Bernama) — Kerajaan United Kingdom pada Selasa mengeluarkan kecaman paling tegas setakat ini terhadap serangan Israel ke atas Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, menyifatkan krisis kemanusiaan di Gaza sebagai “keji” serta mengumumkan penggantungan rasmi rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Israel, lapor Anadolu Ajansi.

Bercakap di Dewan Rakyat, Setiausaha Luar David Lammy menggambarkan kempen ketenteraan Israel yang berterusan sebagai “berbahaya, menjijikkan dan kejam.”

Beliau memberi amaran bahawa dasar Israel untuk hanya membenarkan “jumlah makanan minimum bagi mengelak kebuluran” ke Gaza adalah satu strategi kelaparan yang disengajakan.

“Perdana Menteri Netanyahu menyatakan mereka akan mengawal Semenanjung Gaza dan hanya membenarkan jumlah makanan minimum. Puan Timbalan Speaker, saya petik kata-kata Netanyahu: ‘hanya cukup untuk mengelak kebuluran’,” kata Lammy kepada ahli Parlimen.

“Ia tidak dapat diterima dari segi moral. Ia tidak seimbang. Ia benar-benar, benar-benar tidak produktif.”

Lammy turut memberi amaran bahawa taktik ketenteraan Israel tidak akan dapat menewaskan Hamas, tetapi hanya akan “meninggalkan generasi anak yatim dan trauma – sasaran mudah untuk direkrut Hamas.”

Beliau berkata Britain secara konsisten mendesak Israel untuk “mengubah haluan” sejak serangan ke atas Gaza disambung semula. “Kami telah nyatakan dengan jelas bahawa tindakan Israel tidak boleh diterima,” katanya.

“Kami menggesa kerajaan Netanyahu…sejarah akan menghakimi kamu – menghalang bantuan, meluaskan peperangan. Ini tidak dapat dipertahankan, dan mesti dihentikan. Perdana Menteri Netanyahu, tamatkan sekatan ini sekarang,” tegas beliau.

“Kami akan terus mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang keji,” tambahnya.

Lammy turut mengumumkan sekatan baharu ke atas tiga peneroka Israel, termasuk aktivis terkenal Daniella Weiss, dua pos haram dan dua kumpulan yang dituduh menghasut keganasan terhadap rakyat Palestin.

Sekatan itu merangkumi larangan perjalanan dan pembekuan aset.

Ia dibuat susulan lonjakan serangan oleh peneroka – lebih 1,800 serangan sejak Januari, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kerajaan UK juga secara rasmi menggantung rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas baharu dengan Israel.

“Adalah mustahil untuk meneruskan rundingan perjanjian FTA baharu dengan kerajaan Netanyahu yang meneruskan dasar yang melampau di Tebing Barat dan Gaza,” kata Lammy.

Beliau turut mengulangi gesaan supaya gencatan senjata segera dilaksanakan dan semua tebusan dibebaskan tanpa syarat oleh Hamas, sambil menegaskan bahawa “satu-satunya jalan ke arah keamanan dan keselamatan jangka panjang bagi Palestin dan Israel ialah melalui penyelesaian dua negara.”

Sumber: BERNAMA

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.