Siakap Keli
yang dipertua negeri sabah
Kredit: Arfanshah Abdul Gafar via Bernama

Yang Dipertua Negeri Sabah Kesembilan Meninggal Dunia

Yang Dipertua Negeri Sabah Kesembilan Meninggal Dunia

KOTA KINABALU, 20 Mei (Bernama) — Yang Dipertua Negeri Sabah Kesembilan Tun Ahmadshah Abdullah meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 8.45 malam ini.

Berita pemergian Allahyarham disahkan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong menerusi satu kenyataan.

“Kerajaan negeri mengumumkan tempoh berkabung rasmi selama satu hari (esok) dan bendera negeri Sabah dikibarkan separuh tiang dalam tempoh tersebut,” katanya.

Sementara itu, cucu Allahyarham, Arfanshah Abdul Gafar dalam hantaran menerusi Facebook memohon doa daripada orang ramai dan menyedekahkan al-Fatihah kepada datuknya.

“Mohon sedekahkan al-Fatihah buat nenda saya Tun Datuk Seri Panglima Ahmadshah bin Abdullah yang telah meninggal dunia sebentar tadi di Hospital KPJ Kota Kinabalu. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin Ya Mujib,” katanya.

Ahmadshah, 78, mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah Kesembilan pada 1 Jan 2003 dan berkhidmat selama empat tahun sebelum menyambung khidmat untuk penggal kedua bermula 1 Jan 2007 hingga 31 Dis 2010.

BACA: Mantan Timbalan Naib Canselor USM Tan Sri Dr Kamal Salih Meninggal Dunia

Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Inanam, di sini pada 9 Dis 1946 meninggalkan empat anak manakala isterinya, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar meninggal dunia pada 2020.

Ahmadshah yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Politik daripada Indiana State University, Amerika Syarikat merupakan seorang bekas penjawat awam dengan jawatan terakhir sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah sebelum bersara pada 9 Dis 2002.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan penting lain dalam kerajaan negeri antaranya Pengarah Perjawatan Negeri Sabah, Ketua (Bahagian Hal Ehwal Dalaman dan Penyelidikan) Jabatan Ketua Menteri Sabah serta Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah.

Sumber: BERNAMA

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.