Ramai Tak Tahu, Ini Maksud Kod Warna Pelekat Di Buku Pink
Setiap ibu hamil digalakkan membuka buku pink atau secara rasminya dikenali sebagai Rekod Kesihatan Ibu di mana-mana klinik kesihatan. Bagi merekodkan kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan, buku pink digunakan. Setiap kali buku baru dibuka, satu buku akan diberi untuk simpanan ibu manakala satu lagi akan disimpan oleh pihak Klinik Kesihatan.
Jika anda biasa melihat buku pink, di bahagian kulit buku akan tertera maklumat penting ibu dan bapa bagi bayi dalam kandungan. Malah di bahagian atas kanan buku juga akan dilekatkan satu pelekat berwarna sama ada putih, kuning, hijau atau merah.
Bukan saja-saja, setiap warna ini mempunyai kod tertentu bagi memudahkan jururawat dan doktor memberikan rawatan yang sebaiknya mengikut kondisi ibu.
Bagi menjawab persoalan yang bermain di benak fikiran para ibu, seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai Ibu Farish menjelaskan maksud di sebalik kod warna buku pink.
Kod warna buku pink

Pelekat berwarna putih bermaksud ibu tidak mempunyai sebarang risiko dan boleh bersalin di mana-mana hospital termasuk hospital daerah. Pemeriksaan susulan ibu setiap bulan juga boleh dilakukan oleh jururawat sahaja.
Bagi ibu yang diberi pelekat berwarna kuning pula memberi maksud ibu berisiko dan perlukan pemantauan doktor Pakar Perubatan Keluarga (FMS) atau Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G). Hal ini berikutan ibu mempunyai risiko diabetes dengan insulin atau darah tinggi. Selain itu, ibu muda iaitu sekitar umur remaja atau ibu tanpa nikah juga akan diberikan pelekat kuning.
Jika ibu menerima pelekat berwarna hijau, tidak bermakna ibu tidak berisiko biarpun warna hijau sering dikaitkan dengan keadaan selamat. Pelekat hijau pada buku pink bermaksud ibu kali pertama mengandung (primid), berat badan berlebihan, mempunyai penyakit asma, atau pernah mempunyai sejarah kelahiran melalui vakum. Terdapat banyak lagi keadaan lain yang membuatkan ibu diberi pelekat hijau. Pelekat ini menjadi penanda ibu perlu menjalani pemeriksaan dengan doktor di Klinik Kesihatan dan pemeriksaan susulan oleh jururawat mesti di bawah pengawasan doktor.
Seperti jangkaan anda, pelekat berwarna merah di buku pink menandakan ibu hamil berada dalam risiko tinggi. Ibu perlu dirujuk segera ke hospital besar dan menjalani pemeriksaan susulan bersama pakar. Antara penyebab ibu diberi pelekat merah termasuk mempunyai penyakit jantung atau mengalami kontraksi pramatang.
Sumber: Ibu Farish, Hello Doktor