Tiket Konsert Inteam “Sold Out” Dalam Tempoh 2 Jam
Tiket konsert kumpulan nasyid legenda, Inteam yang bakal diadakan pada 27 September jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur habis dijual dalam tempoh hanya dua jam hari ini.
Inteam menerusi perkongsian di TikTok rasmi kumpulan berkenaan memaklumkan perkara tersebut.
“Diumumkan Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun habis dijual dalam masa dua jam.
“Terima kasih atas sokongan padu, mohon maaf kepada yang tak berjaya,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai meluahkan kekecewaan kerana tidak sempat membeli tiket tersebut.
“Sedih tak dapat tiket. Tambah la konsert satu hari lagi,” pinta seorang peminat.
“Inteam boleh buat dua hari. Nak pergi,” kata peminat yang lain.
Lebih mengejutkan lagi, Inteam turut mempunyai peminat bukan Muslim yang berkongsi kegembiraan berkesempatan membeli tiket konsert tersebut.
Terdahulu, Inteam mengumumkan bakal membuka jualan tiket pada hari ini bermula jam 3 petang.
Kumpulan nasyid yang muncul pada tahun 2000 ini mendapat sambutan hangat dengan konsep asal mereka yang tersendiri. Membawa misi nasyid sebagai salah satu cabang dakwah, Inteam bermula dengan empat orang anggota iaitu Hazamin, Syahril, Hisyam dan Suhaimie pada tahun 1998 ketika masih bergelar penuntut di Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ketika itu, mereka bergelar kumpulan nasyid Husaini.
Menerusi perkongsian Hazamin di saluran YouTube miliknya, penubuhan Inteam ketika itu bermula dengan pencarian anggota kumpulan nasyid bagi minggu orientasi di sana.
Sepanjang Inteam berada dalam industri nasyid, beberapa anggota kumpulan berkenaan telah bertukar. Anggota asal kumpulan berkenaan, Hisyam digantikan dengan Rahim.
Beberapa tahun kemudian, Suhaimie pula menarik diri daripada kumpulan tersebut atas sebabnya yang tersendiri.
Setelah lima tahun berkecimpung dalam dunia nasyid, Inteam memulakan pengurusan mereka sendiri menerusi Inteam Edutainment Sdn Bhd pada 1 Januari 2005. Menganjak ke tahun 2006, Inteam mula menaik taraf sistem pengurusan dan penjenamaan mereka dengan penubuhan Inteam Records Sdn Bhd.
Sumber: Inteam_official, IKIM.fm, Hazamin Inteam
BACA: Ramai Tak Tahu, Ini Maksud Kod Warna Pelekat Di Buku Pink