Siakap Keli
mangsa gempa sabah
Kredit: Mothership SG

Dua Mangsa Gempa Sabah Kembali Jejak Gunung Kinabalu Selepas Sedekad

Dua Mangsa Gempa Sabah Kembali Jejak Gunung Kinabalu Selepas Sedekad

KOTA KINABALU – Dua bekas pelajar Sekolah Rendah Tanjong Katong, Singapura yang terselamat dalam tragedi gempa bumi di Gunung Kinabalu pada tahun 2015 kembali menjejakkan kaki ke puncak gunung itu untuk menamatkan pendakian yang terhenti akibat bencana tersebut.

Emyr Uzayr dan Prajesh Dhimant Patel, kedua-duanya kini berusia 21 tahun, merupakan sebahagian daripada 29 pelajar Sekolah Rendah Tanjong Katong yang terlibat dalam ekspedisi ke Gunung Kinabalu pada 10 tahun lalu. Malangnya, gempa bumi bermagnitud 6.0 itu mengakibatkan dua guru serta tujuh rakan mereka maut, bersama seorang jurulatih dari Singapura.

Emyr yang mengalami retak tengkorak dan kecederaan di bahagian belakang badan, diselamatkan dan diterbangkan pulang ke Singapura. 10 tahun kemudian, remaja tersebut kembali dengan semangat yang berbeza.

“Saya tahu dalam hati, saya perlu kembali. Bukan sahaja untuk menghormati rakan-rakan, tetapi juga untuk mendapatkan ketenangan,” kata Emyr, kini pelajar tahun pertama jurusan kewangan di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Prajesh, kini pelajar sistem maklumat di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), turut menyahut ajakan Emyr untuk menamatkan misi yang tertangguh.

Mereka memulakan pendakian pada 20 Mei sekitar jam 8:30 pagi dan tiba di Laban Rata kira-kira enam jam kemudian. Emyr berkongsi bahawa laluan tersebut kini lebih selamat dengan penambahan pagar keselamatan, lebih banyak pos pemeriksaan dan rondaan berkala.

Namun, beban emosi jauh lebih berat daripada cabaran fizikal.

“Saya tahu setiap langkah akan mengembalikan memori. Tapi lari dari ketakutan bukanlah penyelesaian,” katanya.

Dalam perjalanan, mereka turut bertemu semula dengan beberapa jurupandu gunung yang membantu dalam usaha menyelamat ketika tragedi dahulu. Ada antara mereka yang tidak bertugas ketika itu, namun tetap mendaki gunung tersebut bagi menghulurkan bantuan.

“Apa yang mereka gambarkan sama seperti apa yang saya lihat. Kekacauan, keberanian dan belas kasihan,” ujar Emyr.

Gempa bumi yang berlaku pada 5 Jun 2015 itu turut meragut nyawa enam rakyat Malaysia, seorang warga China dan seorang warga Jepun. Tragedi tersebut dikenang melalui Hari Peringatan Negara Singapura pada 8 Jun 2015.

Pengalaman itu mengubah hidup Emyr selamanya.

“Saya kehilangan kawan yang penuh semangat dan impian. Kini, saya cuba hidup sepenuhnya dan membawa memori mereka dalam setiap apa yang saya lakukan,” katanya dengan penuh makna.

Sumber: Mothership SG

BACA: Wanita Daki Gunung Kinabalu, Kenang Pemergian Adik Dalam Tragedi Gempa 2015

BACA: Banyak Benda Kena Cakna, Ini Tip Persediaan Untuk Mendaki Gunung Kinabalu

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.