Kenapa Jambatan Kedua Pulau Pinang Tak Lurus? Ini Sebabnya
Jambatan Kedua Pulau Pinang atau nama rasminya, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah sepanjang 24 kilometer ini menjadi jambatan kedua terpanjang di Asia Tenggara. Dibuka kepada orang ramai pada 2014 selepas enam tahun proses pembinaan, jambatan ini menghubungkan kawasan Batu Kawan ke Batu Maung.
Bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di Jambatan Pertama Pulau Pinang, pembinaan jambatan kedua ini diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan direalisasikan oleh bekas Perdana Menteri keempat, Allahyarham Tun Abdullah Haji Ahmad badawi.
Jika anda pernah menyeberangi Jambatan Kedua Pulau Pinang, anda mungkin perasan sesuatu yang pelik tetapi menarik. Struktur jambatan ini tidak lurus, sebaliknya melengkung sepanjang perjalanan. Ramai menganggap ia sekadar reka bentuk estetik, tetapi hakikatnya, terdapat kebijaksanaan dalam kejuruteraan bagi setiap lengkungan tersebut.
Pertama sekali, faktor keselamatan dijadikan keutamaan. Jambatan yang terlalu lurus dan panjang boleh menyebabkan pemandu cepat letih dan cenderung memandu laju tanpa sedar. Dengan adanya lengkungan, pemandu lebih fokus dan peka, secara tidak langsung mengurangkan risiko kemalangan.
Kedua, faktor angin laut terbuka juga diambil kira. Struktur jambatan seperti ini terdedah kepada tekanan angin yang kuat. Kajian di China menunjukkan bentuk melengkung pada penghadang angin di jambatan boleh mengurangkan kelajuan angin pada dek jambatan.
Syarikat perunding, AECOM yang terlibat dalam pembinaan jambatan ini merupakan pakar dalam bidang aerodinamik, penilaian risiko pelayaran dan kajian impak kapal.
Selain itu, syarikat ini juga mempunyai kepakaran dalam analisis seismik, pemantauan angin dan kesihatan struktur. Ketika proses perancangan jambatan ini, penilaian bahaya kebakaran serta penyelesaian cara pembinaan kerja cerucuk laut berskala besar turut dilakukan.
Ketiga, dari sudut kejuruteraan, lengkungan digunakan untuk mengelakkan kawasan laut dalam atau dasar laut yang lembut. Dengan menyesuaikan laluan jambatan secara melengkung, jurutera dapat meletakkan tiang-tiang jambatan di kawasan dasar laut yang lebih kukuh dan selamat.
Dalam pada itu, reka bentuk ini turut membantu dari segi psikologi pemanduan. Apabila jalan terlalu lurus dan kita nampak penghujungnya dari awal, perjalanan terasa lebih membosankan dan jauh. Lengkungan ini menghilangkan pandangan terus ke hujung jambatan, membuatkan perjalanan terasa lebih pendek dan lancar.
Jadi, selepas ini bila anda memandu merentas jambatan ini, ingatlah bahawa setiap lengkungan bukan suka-suka. Ia dibina dengan sains, keselamatan dan kebijaksanaan kejuruteraan yang menakjubkan.
Sumber: Archify, ASEAN Skyline, Kementerian Kerja Raya, Applied Sciences Journal, UTM Institutional Repository
BACA: Ramai Tak Tahu, Ini Maksud Kod Warna Pelekat Di Buku Pink
BACA: Cara Berkesan Perangkap Lalat, Tak Sampai 5 Minit Dah Penuh