Bunyi Bising Jadi Faktor? Ini 5 Sebab LIMA Tetap Buat Kat Langkawi Setiap Tahun
Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) sentiasa menjadi perhatian bukan sahaja rakyat Malaysia, malah satu dunia memperhatikannya. Apa tidaknya, acara yang melibatkan persembahan jet-jet pejuang dan juga aset-aset maritim sentiasa menjadi tumpuan utama dalam LIMA. Apatah lagi pemilihan tempat penganjuran LIMA iaitu di Langkawi turut sama membantu kemeriahan dan keunikan acara pameran ini.
Tapi, kenapa LIMA sentiasa buat kat Langkawi?
Ada pelbagai pandangan mengenai persoalan ini, terutamanya di media sosial di mana ramai yang sedang berhujah. Antaranya ada berpendapat di Langkawi banyak hutan dan bukit yang boleh menyerap bunyi-bunyi daripada pesawat. Namun, ianya sekadar pandangan di sosial media.

Jadi, hari ini min nak berkongsikan lima sebab kenapa LIMA tetap dianjurkan di Langkawi walaupun sudah berusia 30 tahun.
1.Lokasi Strategik & Geografi Sesuai.
Pulau Langkawi mempunyai ruang udara dan perairan yang luas, membolehkan demonstrasi udara dan laut dijalankan dengan selamat tanpa gangguan kawasan kediaman padat. Tambahan lagi, kedudukan Langkawi yang terpisah dari tanah besar jadikan kawalan keselamatan lebih mudah semasa penganjuran acara berskala antarabangsa.
2. Kemudahan Infrastruktur Sesuai.
Langkawi mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang mampu menampung jumlah pesawat ketenteraan dan komersial yang besar bagi pertunjukan udara. Selain itu, untuk pameran dan demonstrasi maritim, Awana Porto Malai menjadi lokasi paling strategik yang lengkap dengan kemudahan dermaga dan pelabuhan.

3. Kurang Gangguan Kawasan Bandar
Langkawi juga terkecuali daripada masalah-masalah kesesakan lalu lintas, bangunan tinggi ataupun kepadatan kawasan perumahan yang boleh mengganggu pertunjukan udara dan laut. Faktor ini membantu memudahkan segala acara yang dirancang dapat berjalan dengan lancar.
4. Tarikan Pelancongan & Ekonomi
Penganjuran LIMA secara tidak langsung membantu merancakkan sektor pelancongan di Langkawi. Acara ini akan menarik ribuan pelawat tempatan dan antarabangsa, sekaligus menyumbang kepada ekonomi tempatan, termasuk hotel, pengangkutan dan perniagaan kecil. Malah, makcik pakcik yang berniaga di tepi jalan pun turut mendapat faedah yang sama.
5. Sejarah & Konsistensi
LIMA mula dianjurkan di Langkawi sejak tahun 1991 dan sudah pun mempunyai reputasi antarabangsa. Lokasi ini sudah terbukti berkesan dari aspek logistik dan pengurusan acara berskala besar.
LIMA’25 Melabuhkan Tirainya
Sepanjang lima hari penganjuran LIMA’25, acara ini berjaya menghimpunkan pemain-pemain industri pertahanan, keselamatan, komersial, serta teknologi maritim dan aeroangkasa dari dalam dan luar negara. Buat kali ini, LIMA telah menerima sebanyak 860 penyertaan pempamer dari 24 buah negara sekaligus membuktikan LIMA’25 adalah acara pameran maritim dan aeroangkasa terkemuka di rantau Asia Pasifik.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, penganjuran LIMA bagi edisi ke-17 ini menerima seramai 450,000 kehadiran pengunjung di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL).
“Edisi ke-17 kali ini menyaksikan Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL) menerima seramai 450,000 kehadiran pengunjung. Sebanyak 43 pesawat udara dan 31 kapal dari dalam dan luar negara terlibat sepanjang lima (5) hari LIMA’25 berlangsung. Turut berlangsung adalah Majlis Menandatangani Kontrak, MoU dan LOI bernilai RM 11 Bilion, selain pertunjukan udara dan maritim, forum industri dan sesi padanan perniagaan.”

LIMA’25 bukanlah sekadar mempamerkan kehebatan pesawat-pesawat udara mahupun kapal dan bot di perairan, namun turut bertujuan mempromosikan keamanan sejagat dan keselamatan serantau bagi semua negara yang terlibat. Selain itu, LIMA’25 menjadi medium dan peluang kepada negara terlibat untuk bekerjasama dan bertukar pandangan dalam bidang pertahanan khususnya dalam mendepani cabaran geopolitik.
Perkara itu juga selaras dengan Pelan Strategik MINDEF 2021-2025: Teras 6 – Pengukuhan Kerjasama Antarabangsa dalam Menjamin Pertahanan Negara. Pelan ini bertujuan untuk mengekalkan kestabilan serantau melalui hubungan pertahanan dua hala dan pelbagai hala serta meningkatkan keupayaan ATM dan industri pertahanan tempatan melalui kerjasama luar rantau.
LIMA’25 sudah pun melabuhkan tirainya pada 24 Mei 2025, di mana Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan majlis Penutup Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi Tahun 2025 di A.T.M.O.S Sphere Dome, MIEC, semalam.