Mencegah kematian akibat denggi bukan mustahil. Dengan empat langkah mudah; hapus tempat pembiakan nyamuk, cegah gigitan, dapatkan vaksin, dan segera dapatkan rawatan jika bergejala kita boleh lindungi diri dan orang tersayang daripada bahaya denggi.
Inilah mesej utama kempen “Tamatkan Kematian Denggi (ENDD)” yang dilancarkan oleh Dengue Prevention Advocacy Malaysia (DPAM) bersama Immunise4Life (IFL). Majlis ini dirasmikan oleh Dr. Ismuni Bohari, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan.
Denggi Masih Ancaman Serius
Denggi kekal sebagai penyakit berjangkit ketiga tertinggi di Malaysia selepas COVID-19 dan HFMD. Tahun 2024 mencatatkan 122,323 kes dengan 117 kematian walaupun kes menurun sedikit, jumlah kematian meningkat 17% berbanding 2023.
Usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk Portal iDengue, kawalan nyamuk menggunakan teknologi, dan pelepasan nyamuk berWolbachia telah berjaya mengurangkan kes di kawasan tertentu hingga 80%.
Satu Tragedi Yang Boleh Dicegah
Pengerusi DPAM, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Ismail menegaskan bahawa setiap kematian akibat denggi boleh dicegah. Dengan kerjasama masyarakat, sektor awam dan swasta, Malaysia boleh capai sasaran sifar kematian menjelang 2030 selari dengan WHO.
Kempen ENDD juga mengetengahkan kisah benar seperti Cik Julaikha yang dijangkiti denggi bersama kedua ibu bapanya, dan Encik Firdaus yang kehilangan kedua orang tuanya selang sehari akibat denggi. Denggi bukan sekadar demam biasa ia boleh meragut nyawa dalam sekelip mata.
4 Langkah Mudah Yang Menyelamatkan
Pengerusi Kempen ENDD, Dr Koh Kar Chai menyeru rakyat Malaysia untuk:
-
Hapus tempat pembiakan nyamuk
-
Cegah gigitan
-
Dapatkan vaksin
-
Segera berjumpa doktor jika alami gejala
Maklumat dan video berkaitan kempen ini boleh diakses melalui laman web rasmi: enddenguedeaths.dpam.org.my
Vaksin: Perisai Tambahan
Prof. Dr. Zamberi Sekawi memaklumkan vaksin TAK-003 kini boleh didapati di klinik dan hospital swasta. Ia berkesan lebih 80% dalam mencegah simptom denggi, dan 95% dalam mengelakkan kemasukan ke hospital. Vaksin ini telah digunakan secara meluas di negara endemik seperti Indonesia, Brazil dan Vietnam.
Lindungi diri. Lindungi keluarga. Setiap nyawa berharga. Bersama, kita boleh tamatkan kematian akibat denggi.