Malaysia bakal mencipta sejarah dunia apabila pertandingan ratu cantik antarabangsa Miss & Mrs Majestic International 2025 berlangsung megah di puncak Genting Highlands. Acara ini bukan sahaja menampilkan keanggunan wanita dari lebih 30 negara, tetapi turut mengangkat martabat batik tempatan ke pentas global.
Pertandingan ini dianjurkan berlandaskan tiga objektif utama:
- Memperkasa industri batik tempatan melalui promosi global dan penyertaan peserta antarabangsa.
- Meraikan kepelbagaian budaya antarabangsa menerusi platform kecantikan, gaya dan keanggunan.
- Menjadikan acara ini pemangkin pelancongan budaya, menyokong secara langsung agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 serta visi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Pertandingan ini lebih daripada sekadar menobatkan ratu, ia adalah gerakan budaya dan ekspresi keyakinan wanita,” kata Huda Hassan, pengasas dan penganjur pertandingan.
Antara momen paling dinanti ialah penciptaan rekod baharu Malaysia Book of Records “Catwalk Tertinggi Dalam Busana Tradisional” yang bakal diadakan di Hoverland Genting Highlands, lokasi ikonik yang telah pun memegang dua rekod kebangsaan “Highest Altitude Observation Deck” dan “Highest Altitude Building-Edge Skywalk” di ketinggian 6,106 kaki oleh Malaysia Book of Records (MBOR) pada 29 April lalu.
Hoverland Genting Highlands adalah tarikan pelancongan baru yang unik dan eksklusif di Malaysia. Di sini, pemandangan Banjaran Titiwangsa menjadi tumpuan ramai yang suka nikmat pemandangan semulajadi.
Catwalk batik yang diadakan di Hoverland turut mempamerkan keberanian dan keyakinan wanita selaras dengan nilai para peserta pertandingan ratu cantik. la juga menekankan kekuatan dalaman dan ekspresi diri dalam seorang wanita.
Selain dek pemerhatian, Hoverland juga menawar tempat mengambil gambar di sekelilingnya seperti Stairway to Heaven, Rhythm at the Sky, lengkap dengan ‘tumbuhan alang-alang’ supaya pengunjung rasa seperti di atas bukit tanpa mendaki.
Dengan pemilihan Hoverland, acara ini menyumbang secara langsung kepada promosi pelancongan tempatan, selari dengan objektif Tahun Melawat Malaysia 2026 serta strategi promosi oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Pertandingan ini akan berlangsung di Wyndham lon Majestic Hotel Genting Highlands pada 7 Ogos hingga 10 Ogos depan, sebuah hotel pada altitud tertinggi di Malaysia, bertaraf 5 bintang yang menawarkan kemudahan ballroom moden, hospitaliti antarabangsa dan ruang acara serba elegan sempurna untuk penganjuran acara bertaraf dunia. Hotel ini juga bertindak sebagai rakan strategik utama, menyokong usaha menjadikan batik sebagai ikon budaya Malaysia.
Turut serta dalam kolaborasi strategik ialah Hoverland dan Hard Rock Genting Malaysia, lokasi eksklusif tertinggi di rantau Asia Pasifik, bagi pertunjukan batik dan sesi media tempatan dan antarabangsa.
Dengan penyertaan dari dua kategori Miss dan Mrs, acara ini bukan sahaja mengiktiraf kecantikan fizikal, tetapi juga kecerdasan, keterampilan sosial dan kepimpinan. Setiap peserta akan menerima sepasang busana batik eksklusif, menjadikan mereka Duta Batik Malaysia di negara masing-masing.
Pertandingan ini dijangka memberi impak besar kepada sektor pelancongan, fesyen dan ekonomi kreatif negara.