Hanya Pemerhati, Kenapa Timor-Leste Belum Jadi Anggota ASEAN?
Persidangan negara-negara ASEAN diadakan pada setiap tahun bagi mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau. Terpilih sebagai tuan rumah ASEAN tahun 2025, Malaysia menyaksikan pemimpin-pemimpin kerajaan hadir di ibu negara bagi menjalankan amanah dalam persidangan ini.
Biarpun begitu, tahukah anda terdapat pemimpin kerajaan yang bukan anggota ASEAN turut menghadiri persidangan terbesar ini? Satu-satunya negara yang bukan anggota ASEAN ialah Timor-Leste.
Pasti anda tertanya-tanya, mengapa Timor-Leste tidak menjadi anggota ASEAN? Kali ini, SK kongsikan dengan anda beberapa fakta menarik di sebalik persoalan tersebut.
Latar belakang
Timor-Leste terletak di bahagian timur Pulau Timor yang dahulunya sebahagian daripada Indonesia. Tanggal 20 Mei 2002, Timor-Leste keluar daripada Indonesia dan menggunakan nama Portugis Timor-Leste. Oleh sebab kemerdekaannya berlaku selepas penubuhan ASEAN iaitu pada tahun 1967, Timor-Leste tidak termasuk dalam kalangan anggota ASEAN.
Namun begitu, negara berkenaan telah diberi status sebagai pemerhati di mesyuarat peringkat tinggi pada tahun 2022 sementara penilaian penerimaan penuh sebagai anggota ASEAN masih berjalan.
Biarpun satu persoalan sudah terjawab, timbul satu lagi persoalan apabila permohonan Timor-Leste bagi menyertai ASEAN hampir 14 tahun yang lalu masih belum diluluskan?
Bukan saja-saja, rupanya terdapat satu senarai panjang yang perlu dipersetujui negara baharu tersebut bagi memastikan komitmennya terhadap isu serantau.
Faktor Timor-Leste belum diterima sebagai anggota ASEAN
Beberapa faktor utama dikenal pasti sebagai punca kelewatan tersebut. Antaranya ialah kekangan dari segi pembangunan ekonomi dan sumber manusia negara itu. Menurut kajian keahlian ASEAN, Timor-Leste masih belum memiliki kapasiti mencukupi untuk memenuhi tanggungjawab keanggotaan.
Singapura dan Laos pernah menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kemajuan negara berkenaan yang masih rendah. Keluaran Dalam Negara Kasar Timor-Leste hanya berjumlah sekitar USD 1.442 bilion. Jumlah itu jauh lebih kecil berbanding negara ASEAN lain seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, dan Singapura.
Selain daripada itu, Timor-Leste juga perlu membuktikan kesediaannya dari sudut pembangunan institusi dan tadbir urus. Negara itu masih kekurangan undang-undang asas seperti perlindungan pelabur. ASEAN memerlukan jaminan bahawa negara anggota baharu mampu menyumbang kepada kestabilan dan kemajuan rantau ini.
Walau bagaimanapun, beberapa negara anggota telah menyatakan sokongan terhadap permohonan Timor-Leste. Filipina merupakan negara pertama yang menyokong permohonan tersebut sejak tahun 2015. Malah, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Kemboja turut menunjukkan sokongan berperingkat.
Perkembangan terkini Timor-Leste
Bagi membuktikan komitmennya sebagai bakal anggota ASEAN, Timor-Leste giat berusaha terutamanya dalam hal kestabilan politik dan membangunkan institusi demokrasi. Kerajaan negara tersebut juga meningkatkan akses pendidikan dan bekalan elektrik kepada penduduk.
Sebagai contoh, kadar akses elektrik meningkat daripada 38% pada tahun 2010 kepada 96% pada tahun 2020. Selain itu, kadar kemasukan ke sekolah rendah mencapai 92% pada tahun 2015. Negara ini juga telah menubuhkan dana kekayaan negara yang diurus secara profesional dan diiktiraf.
Brau-baru ini, Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn berpandangan kedudukan negara tersebut dalam keluarga ASEAN semakin kukuh apabila berjaya mencapai beberapa kemajuan penting di bawah pelan hal tuju rasmi.
Menurutnya lagi, kemungkinan bagi penerimaan negara berkenaan sebagai anggota ASEAN semakin tinggi menerusi faktor penerimaan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan empat pelan strategik yang dijangka diluluskan pada sidang kemuncak tahun ini.
Bukan itu sahaja, Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao turut yakin dengan proses penerimaan negara tersebut sebagai anggota ASEAN bakal menampakkan hasil menjelang hujung tahun ini. Penyertaan penuh negara tersebut sebagai anggota ASEAN diharap dapat memberi pelbagai manfaat terutama dari segi ekonomi dan memperkukuh suara Timor-Leste di peringkat serantau.
Sumber: SUKMA, East Asia Forum, Bernama (1) (2), ASEAN
BACA: Kenali Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, Dapat Anugerah Pengendali Bagasi Terbaik Dunia