Siakap Keli
Buku Biak Baka Tanaman

Agensi Nuklear Malaysia Lancar Buku Biak Baka Tanaman Di Pesta Buku Antarabangsa DBP

KUALA LUMPUR, 27 Mei 2025 – Sebuah buku ilmiah bertajuk “Teknologi  Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan” telah dilancarkan hari ini sempena  Pesta Buku Antarabangsa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Pelancaran buku ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha  memperkasa ilmu sains dan teknologi nuklear di Malaysia. Majlis pelancaran  telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan turut dihadiri oleh Dr. Rosli bin  Darmawan, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia. 

Penerbitan buku ini merupakan antara inisiatif di bawah sokongan berterusan  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memperluas  pemahaman masyarakat terhadap penggunaan aplikasi teknologi nuklear secara  aman disamping memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan  negara. Usaha ini selaras dengan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 bagi memastikan pembangunan dan penggunaan teknologi nuklear yang selamat, bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada rakyat serta negara. 

Buku Biak Baka Tanaman

Buku ini memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi nuklear dalam sektor  pertanian, khususnya melalui teknik biak baka mutasi sinaran bagi penghasilan  varieti baharu tanaman hiasan. Teknologi ini telah diterapkan di Malaysia lebih daripada tiga dekad lalu dan berjaya menghasilkan pelbagai tanaman baharu  yang menyumbang kepada pembangunan industri florikultur tempatan. 

Dalam ucapannya, YB Timbalan Menteri menegaskan bahawa MOSTI komited  untuk memperluas penggunaan teknologi strategik termasuk teknologi nuklear  dalam pelbagai sektor ekonomi seperti pertanian, industri, perubatan dan alam  sekitar. Penerbitan buku ini bukan sahaja merakam hasil penyelidikan saintifik,  malah memperkukuh usaha MOSTI untuk menyampaikan ilmu dan inovasi  kepada rakyat secara inklusif dan berterusan, kata beliau. 

Buku Biak Baka Tanaman

“Penerbitan buku seperti Teknologi Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan  bukan sahaja mencerminkan komitmen kita dalam memperkukuh ekosistem  penyelidikan dan inovasi negara, malah memperluas literasi sains dan teknologi  dalam kalangan masyarakat. Ini selaras dengan usaha MOSTI untuk menjadikan  sains dan teknologi sebagai teras kemajuan negara serta memperkasa aplikasi  teknologi nuklear secara aman dan bertanggungjawab dalam sektor strategik  seperti pertanian. 

Penghasilan buku ini mencerminkan teras dalam DTNN 2030 iaitu memperluaskan aplikasi teknologi nuklear dalam sektor makanan dan pertanian  terutamanya dalam membangunkan varieti tumbuhan baharu dengan ciri-ciri  yang lebih baik melalui induksi mutasi nuklear.  

Industri florikultur Malaysia telah dikenal pasti sebagai sektor pertanian bernilai  tinggi dan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara.  Dalam konteks ini, teknologi nuklear mampu memberikan nilai tambah kepada  sektor ini melalui pembangunan varieti tanaman hiasan yang lebih kompetitif,  menarik dan memenuhi permintaan pasaran domestik serta antarabangsa. 

“Teknologi Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan” mengandungi  penerangan menyeluruh mengenai konsep biak baka mutasi, kaedah  pelaksanaan serta dokumentasi varieti tanaman yang telah berjaya dibangunkan oleh penyelidik tempatan. Sejak awal 1990-an, Agensi Nuklear Malaysia telah  menghasilkan lebih 30 mutan tanaman dan sekitar 60% daripadanya adalah  tanaman hiasan berbunga dan landskap. 

Buku Biak Baka Tanaman

Buku ini disasarkan kepada penyelidik, pensyarah, pelajar universiti dan juga  pelajar sekolah menengah sebagai sumber rujukan dan pendedahan awal  terhadap manfaat teknologi nuklear secara aman dalam meningkatkan  kesejahteraan hidup dan ekonomi negara. 

Majlis pelancaran ini turut mengukuhkan peranan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) sebagai peneraju penerbitan bahan ilmiah berkualiti tinggi dalam bahasa  kebangsaan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menyemarakkan budaya ilmu  dan inovasi dalam kalangan masyarakat. 

Turut sama hadir, Yang Berbahagia Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Mohd  Anuar bin Haji Rethwan, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan  Pustaka.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.