Indonesia Sedia Jalin Hubungan Diplomatik Jika Israel Iktiraf Kemerdekaan Palestin
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menyatakan kesediaan negaranya untuk menjalin hubungan diplomatik jika Israel mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
Kenyataan tersebut dibuat Prabowo dalam satu sidang media bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron, di Istana Merdeka, Jakarta.
Dalam kenyataan itu, Prabowo menegaskan bahawa two-state solution merupakan satu-satunya jalan ke arah kemerdekaan Palestin dan keamanan di Timur Tengah.
“Sebaik sahaja negara Palestin diiktiraf oleh Israel, Indonesia bersedia untuk mengiktiraf Israel dan membuka hubungan diplomatik dengan mereka,” ujar Prabowo, seperti dilapor Tempo.co.
Malah, Prabowo menyatakan komitmen Indonesia untuk turut serta dalam misi keamanan antarabangsa di wilayah bergolak itu.
“Kami juga bersedia menghantar pasukan pengaman ke kawasan tersebut,” katanya lagi.
Dalam sidang media sama, Prabowo turut menyuarakan sokongan terhadap usaha Perancis dan Arab Saudi untuk menganjurkan satu Sidang Kemuncak Antarabangsa (KTT) di New York pada bulan Jun ini, yang bertujuan memajukan usaha damai di Timur Tengah.
Spekulasi hubungan Indonesia-Israel
Menurut Tempo.co, desas-desus mengenai kemungkinan normalisasi hubungan antara Indonesia dan Israel telah beredar sejak tahun 2023.
Media Israel, Ynet, melalui laporannya ketika itu pernah mendakwa bahawa Israel dan Indonesia dikatakan telah mengadakan rundingan selama tiga bulan berkaitan langkah ke arah hubungan rasmi.
Berdasarkan laporan itu lagi, Israel dikatakan sedia untuk menarik balik halangan terhadap permohonan keanggotaan Indonesia dalam Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sebagai balasan kepada normalisasi hubungan diplomatik.
Sebelum ini, Israel telah menolak permohonan Indonesia atas alasan ketiadaan hubungan rasmi antara mereka.
Media antarabangsa Jewish Insider juga pernah mendakwa bahawa Presiden Indonesia terdahulu, Joko Widodo dan Menteri Luar Negeri Israel ketika itu, Eli Cohen telah mencapai persetujuan awal berhubung draf normalisasi hubungan sebagai langkah pertama ke arah hubungan diplomatik penuh.
Dakwa media berkenaan lagi, pengumuman rasmi sepatutnya dibuat pada Oktober 2023, bergantung kepada lawatan Jokowi ke Rumah Putih di Washington D.C.
Penafian & ketegasan dasar luar
Bagaimanapun, Istana Kepresidenan Indonesia telah menafikan laporan-laporan tersebut ketika itu.
Koordinator Staf Khusus Presiden, Ari Dwipayana, menyifatkan laporan media asing itu sebagai tidak berasas.
“Maklumat yang disampaikan itu sama sekali tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan kepada media tempatan pada 29 Februari 2024, seperti dilapor Tempo.co.
Menteri Luar Negeri ketika itu, Retno Marsudi, turut menegaskan bahawa Indonesia tetap dengan pendiriannya untuk tidak menormalisasi hubungan dengan Israel selagi Palestin belum memperoleh kemerdekaan.
“Dari masa ke semasa ada pihak yang mengatakan sudah tiba masanya Indonesia menormalisasi hubungan. Bagi kami, pendirian kami jelas dan tidak berubah,” ujar Retno pada 16 April 2024 di Kompleks Istana Kepresidenan.
BACA: PM Lulus Permohonan Cuti Rafizi Dan Nik Nazmi, Keputusan Diumum Kemudian – PMO
Sumber: Tempo.co