KUALA LUMPUR, 29 Mei 2025 – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkukuh inisiatif kempen kesedaran Belia Bebas Dadah melalui jalinan kerjasama strategik bersama TGV Cinemas. Pengumuman tersebut disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dalam satu majlis yang berlangsung di TGV Cinemas, Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur pada 26 Mei lalu.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), YBhg. Dato’ Ruslin Jusoh.
Melalui kerjasama KBS dan TGV ini, video kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang akan ditayangkan sebelum setiap sesi tayangan filem di semua cawangan TGV Cinemas di seluruh negara. Inisiatif ini bertujuan menyampaikan mesej pencegahan dadah secara efektif kepada khalayak umum, terutamanya golongan belia dan ibu bapa.
Kempen itu melibatkan100 orang belia dan ibu bapa dari empat lokasi Projek Perumahan Rakyat (PPR) terpilih sekitar Kuala Lumpur. Antara lokasi terlibat ialah PPR Batu Muda, PPR Hiliran Ampang, PPR Kampung Limau dan PPR Seri Pantai. Kehadiran komuniti ini menandakan sokongan akar umbi terhadap usaha memerangi penyalahgunaan dadah.
“KBS percaya bahawa pawagam bukan hanya tempat hiburan, tetapi juga ruang mendidik dan menyatukan keluarga. Melalui kerjasama ini, kami ingin menjadikan lawatan ke pawagam sebagai satu pengalaman yang membawa nilai positif,” ujar YB Hannah Yeoh.
Kerjsama antara KBS dan TGV ini mendapat sokongan dua ikon sukan negara; Mohamad Aniq Kasdan, atlet angkat berat dan Nor Farah Ain Abdullah, Olahragawati Kebangsaan 2024. Kehadiran mereka memberi impak simbolik bahawa belia yang aktif dan bebas dadah mampu mencapai kecemerlangan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan MADANI dalam mengutamakan kesejahteraan belia selaras dengan nilai-nilai MADANI.