PPZ-MAIWP Dan BSN Meterai MOU Perluas Inisiatif Wakaf Tunai Melalui Platform Digital
Kuala Lumpur, 29 Mei 2025 – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada petang semalam telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) di ibu pejabat PPZ-MAIWP.
Majlis ini merupakan simbolik kepada kerjasama strategik di antara dua institusi dalam usaha memperkukuh ekosistem wakaf dan zakat di Wilayah Persekutuan, di mana BSN secara rasminya telah dilantik sebagai ejen kutipan wakaf tunai PPZ-MAIWP.
Melalui MoU ini, kemudahan Sistem Pembayaran Wakaf dalam talian menerusi aplikasi MyBSN juga telah diperkenal bagi memudahkan pengguna menunaikan wakaf dengan lebih cepat, selamat dan telus.
Selain itu, pelanggan BSN turut mempunyai akses kepada pelbagai saluran sedia ada untuk tujuan berwakaf, termasuk ATM/ CDM, perbankan internet, e-Biller, QR DuitNow, pendebitan keuntungan melalui akaun simpanan, ejen bank dan juga di kaunter-kaunter BSN. Setiap transaksi akan dikemaskini secara automatik bagi memudahkan pewakaf menyemak rekod sumbangan wakaf secara langsung.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman berkata, sinergi di antara PPZ-MAIWP dan BSN ini bukan yang pertama, memandangkan insitusi perbankan ini telah dilantik sebagai ejen rasmi kutipan zakat PPZ-MAIWP sejak tahun 2011.
“PPZ-MAIWP amat optimis bahawa BSN, sebagai rakan strategik yang memiliki kepakaran luas dalam perkhidmatan kewangan, mampu membantu meningkatkan kutipan wakaf di Wilayah Persekutuan melalui pelbagai platform berwakaf yang disediakan. Kami juga yakin masyarakat berpeluang untuk berwakaf dengan lebih mudah dan mesra pengguna, sekali gus menyemarakkan lagi budaya memberi tanpa ganjaran dalam kalangan umat Islam,” katanya.
Untuk rekod, ini merupakan tahun ketiga PPZ-MAIWP diamanahkan untuk mengutip wakaf tunai di Wilayah Persekutuan. Suku pertama 2025 iaitu di antara Januari hingga April memperlihatkan kutipan wakaf tunai meningkat lebih 50% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, iaitu daripada RM2.19 juta kepada RM3.31 juta.
Pada masa sama, sebanyak 33 buah projek khas meliputi sektor kesihatan, pendidikan, perumahan, sosial dan kecemasan perlu disempurnakan dengan keperluan dana keseluruhan berjumlah RM748 juta.
Sementara itu, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil, berkata, “BSN percaya bahawa wakaf mempunyai potensi besar sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi ummah. Melalui kerjasama ini, BSN komited untuk menyediakan akses yang lebih mudah, diyakini dan inklusif kepada masyarakat untuk berwakaf secara digital, selaras dengan komitmen kami dalam memperkasa kewangan sosial Islam seterusnya mendukung inisiatif pendigitalan”
PPZ-MAIWP menyeru kepada semua pelanggan yang mempunyai akaun simpanan dengan BSN memberikan keizinan kepada BSN untuk menyalurkan keuntungan bulanan yang diterima di dalam akaun simpanan pelanggan kepada PPZ-MAIWP. Sumbangan ini akan dimanfaatkan dengan menjalankan inisiatif-inisiatif wakaf yang telah dirancang. Pelanggan BSN boleh memberi keizinan dengan hadir ke mana-mana cawangan BSN yang terdekat.
Pada majlis ini, BSN turut menyampaikan sumbangan wakaf tunai berjumlah RM20,000 kepada PPZ-MAIWP sebagai sokongan kepada projek-projek wakaf yang sedang dilaksanakan. Kerjasama PPZ-MAIWP dan BSN dijangka memberi kesan positif jangka panjang kepada pengukuhan sistem sokongan sosial Islam serta memperluas capaian masyarakat kepada saluran berwakaf secara digital, seiring dengan aspirasi negara ke arah digitalisasi perkhidmatan awam dan kewangan Islam.
Turut hadir pada majlis ini adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PPZ-MAIWP, Haji Azrin Dato’ Haji Abdul Manan, Timbalan Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid dan Ketua Pegawai Syariah BSN, Anuar Elias.
Untuk maklumat lanjut berkaitan wakaf tunai PPZ-MAIWP, orang ramai boleh layari portal wakaf PPZ di laman wakafppz.com.my atau di talian 1-300-88-5757.