Gantung: Musketeer Code – Membongkar Misteri Kematian Seorang Pelajar Gantung Diri Di Auditorium Sekolah
Drama bersiri Gantung The Series yang pernah ditayangkan di kaca televisyen sekitar tahun 2018 pernah mendapat perhatian penonton di Malaysia dan Indonesia.
Diadaptasi daripada novel buku fixi terlaris berjudul Gantung karya Nadia Khan, drama berkenaan mengangkat kisah empat sekawan iaitu Gibbs, Ray, Troll dan KJ yang melalui tahun akhir di salah sebuah sekolah elit.
Kini,setelah tujuh tahun akhirnya siri berkenaan telah diangkat ke layar perak dengan menggunakan tajuk Gantung: Musketeer Code terbitan Neddo Works.
Nadia yang juga selaku penerbit dan pengarah berkata, dia mengambil keputusan untuk menerbitkan Gantung ke layar perak atas sokongan peminat-peminat novel berkenaan.
“Filem Gantung: Musketeer Code direalisasikan atas sokongan peminat-peminat novel Gantung yang sangat menginginkan kisah dari novel pertama ditamatkan dengan sempurna.
“Kami di Neddo Works ketika itu sebenarnya merasa sangat terharu yang sebuah karya novel kontemporari seperti ini benar-benar mahu diangkat ke layar perak, seolah-olah ia mewakili suara anak-anak muda,” jelasnya.
Untuk mengusahakan projek filem berkenaan, Nadia memberitahu mereka memulakan usaha crowdfunding pada Januari 2020 dan mendapat sambutan yang memberangsangkan, di mana sejumlah RM200,000 berjaya dikumpul melalui penjualan buku Musketeers, t-shirt dan cenderamata.
Bagaimanapun, ujarnya akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, pembikinan filem berkenaan terpaksa dihentikan buat seketika.
“Namun begitu, kami tetap berusaha untuk meneruskannya kerana kami anggap ini sebagai amanah dari peminat yang tetap setia menunggu walaupun tergendala untuk sekian lama.
“Akhirnya, setelah menempuh pelbagai dugaan, filem Gantung: Musketeer Code berjaya menjalani proses penggambaran pada bulan Disember 2023 sehingga Januari 2024,” jelasnya.
Gantung: Musketeer Code menceritakan kisah empat orang sahabat baik dituduh menjadi punca kematian seorang pelajar perempuan yang telah menggantung diri di auditorium sekolah.
Filem Gantung: Musketeer Code menampilkan Ikmal Amry, Ben Amir, Hafreez Adam, Brandon Salim (dari Indonesia) dan Shazia Rozaini sebagai watak-watak utama dan turut dibantu oleh Gita Sucia (juga dari Indonesia), Taufiq Hanafi dan Nelissa Nizam. Filem ini juga melibatkan pelakon-pelakon berpengalaman seperti Bront Palarae dan Sofia Jane serta dihiasi penampilan-penampilan istimewa dari
ramai lagi pelakon tempatan yang berkaliber.
Jelasnya, biarpun membariskan ramai pelakon asal, namun watak Gibbs dan Farah yang sebelum ini dilakonkan Randy Pangalila dan Mentari de Marelle telah digantikan dengan Ben Amir dan Shazia Rozaini.
Bercerita lebih lanjut mengenai filem berkenaan, Nadia menjelaskan bahawa filem Gantung: Musketeer Code masih boleh ditonton oleh mereka yang tidak mengikuti siri televisyen sebelum ini.
“Filem ini berdiri dengan sendiri kerana ia hasil adaptasi daripada novel Gantung yang pertama. Tak dinafikan ada perkara yang berbeza daripada novel, tetapi oleh kerana saya sendiri penulis buku dan juga penulis skrip serta pengarah filem, semangat dan jiwa filem ini tak lari jauh daripada novel.
“Bagi yang tak menonton siri TV, masih boleh menonton filem ini tanpa apa-apa kekeliruan kerana filem ini dibuat untuk berdiri dengan sendiri. Bagi yang tak membaca novel, juga boleh menonton filem ini dengan tenang,” ujarnya.
Nadia juga bercerita tentang bagaimana tema persahabatan dalam filem ini boleh dihayati oleh pelbagai lapisan penonton. Selain mengimbau kehidupan zaman sekolah, penonton juga akan mengenang tentang usia muda di mana kita mudah tersilap langkah.
Harapan Nadia setelah pembikinan filem ini mendapat sokongan daripada pembaca novel, penonton siri TV dan rakan-rakan industri, ia juga akan mendapat tempat di hati semua yang menontonnya di pawagam.
Filem Gantung: Musketeer Code akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 5 JUN 2025.