MADRID, 30 Mei (Bernama-WAFA) — Sepanyol dan Slovenia pada Khamis menggesa gencatan senjata serta-merta di Semenanjung Gaza serta pelaksanaan sekatan terhadap Israel, semasa sidang media bersama yang diadakan di sini oleh Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez dan rakan sejawatannya dari Slovenia, Robert Golob.
Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), Sanchez menyatakan bahawa kedua-dua kerajaan bersetuju untuk menggantung Perjanjian Persatuan EU-Israel, mengenakan embargo senjata serta melaksanakan sekatan ke atas pegawai Israel secara individu.
Beliau menegaskan bahawa Sepanyol dan Slovenia berkongsi pendirian yang sama berhubung malapetaka kemanusiaan yang sedang dihadapi rakyat Palestin. Beliau turut menegaskan bahawa pengiktirafan rasmi mereka terhadap Negara Palestin hampir setahun lepas adalah berdasarkan komitmen terhadap hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
“Penyelesaian dua negara kekal sebagai satu-satunya laluan ke hadapan yang berdaya maju – tiada alternatif lain,” kata Sanchez.
Golob turut menyuarakan gesaan agar tindakan segera diambil, sambil menyatakan bahawa Slovenia akan terus bekerjasama dengan Sepanyol untuk mempertahankan prinsip teras undang-undang antarabangsa. Beliau turut menggesa gencatan senjata serta-merta dilaksanakan di Gaza serta penghantaran segera bantuan kemanusiaan kepada penduduk.
— BERNAMA-WAFA