Hubungan Bernama-Antara Ditingkatkan Menerusi Kerjasama Lebih Kukuh – Fahmi
TOKYO, 31 Mei (Bernama) — Hubungan erat dua agensi iaitu berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Indonesia Antara akan ditingkatkan menerusi kerjasama yang lebih kukuh.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata menerusi perbincangan dua hala bersama Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia Meutya Viada Hafid, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengeratkan lagi hubungan Bernama-Antara dalam penyampaian berita.
Beliau berkata perkara itu penting untuk memastikan kedua-dua agensi kekal relevan, berwibawa dan berupaya menyampaikan maklumat yang tepat serta seimbang kepada rakyat di negara masing-masing.
“Perbincangan dengan Menteri Meutya banyak berlegar di sekitar usaha kita mengeratkan hubungan antara Bernama dan Antara, dua agensi berita yang tersohor dan sangat penting bagi kedua-dua negara.
“Apa yang boleh kita lakukan ialah meningkatkan hubungan melalui organisasi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI), yang merapatkan silaturahim di antara organisasi media Malaysia dan Indonesia,” katanya kepada Bernama sempena Mesyuarat Menteri Asia Pacific Telecommunity (APT-MM) 2025 di sini pada Sabtu.
Fahmi berkata Malaysia menawarkan bantuan kepada Indonesia dalam beberapa perkara, termasuk aspek kawal selia media sosial di negara itu.
Beliau berkata perbincangan dengan Meutya turut menyentuh pelbagai aspek penting dalam kerjasama dua hala terutama komunikasi, media dan infrastruktur digital, selari dengan landskap maklumat masa kini yang kian mencabar dan saling bergantung di peringkat serantau.
“Menteri Meutya maklumkan memang Indonesia berdepan dengan keadaan yang rumit dan meruncing, terutama melibatkan isu judi dalam talian yang banyak diiklankan melalui platform media sosial yang membarah dan perlu beberapa tindakan tegas.
“Saya melihat ada beberapa pengalaman kita dalam melaksanakan kerangka kawal selia boleh kita sampaikan, juga keupayaan dan halangan ataupun cabaran dalam pelaksanaannya kepada pihak Indonesia,” tambahnya.
Bertemakan Harnessing Emerging Technologies for Sustainable, Inclusive and Equitable Digital Transformation in the Asia-Pacific”, APT-MM 2025 yang berlangsung dua hari mulai semalam, menghimpunkan 31 negara anggota serta 19 ahli gabungan terdiri daripada pihak kerajaan, pihak pengawal selia dan agensi swasta dari rantau Asia-Pasifik.
Sumber: BERNAMA