Bom Perang Dunia Kedua Ditemukan Di Cologne, 20,000 Dipindahkan
COLOGNE (Jerman), 3 Jun (Bernama) – Dianggarkan seramai 20,000 orang perlu meninggalkan kediaman mereka di Cologne pada Rabu susulan penemuan tiga butir bom Perang Dunia Kedua yang perlu dinyahaktifkan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut jurucakap pihak berkuasa bandar pada Isnin, pemindahan ini antara yang terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kawasan yang terlibat termasuk muzium terkenal seperti Muzium Ludwig dan Muzium Wallraf-Richartz serta syarikat besar seperti stesen televisyen RTL.
RTL merancang untuk menyiarkan program berita pagi secara langsung dari pusat penyiarannya di daerah Deutz, tetapi rancangan seterusnya tidak akan disiarkan dari situ. Program lain akan disiarkan secara langsung dari studio syarikat itu di Berlin.
Keseluruhan pusat bersejarah Cologne juga termasuk dalam zon sekatan, dengan penginap 58 hotel dan penyedia penginapan lain akan dikosongkan.
Tiga jambatan merentasi Sungai Rhine akan ditutup. Stesen kereta api Cologne-Messe/Deutz, Dewan Bandaraya Cologne, sebuah hospital serta dua rumah penjagaan dan warga emas juga akan dikosongkan.
Cologne Cathedral terletak di luar sedikit dari kawasan pemindahan.
Tiga bom berkenaan, masing-masing seberat kira-kira satu tan, ditemukan pada Isnin.
Kerja pelupusan bom antara perkara biasa di Cologne, antara bandar Jerman yang paling banyak dibom semasa Perang Dunia Kedua.
Sumber: Bernama
BACA: Universiti Di China Tetapkan Pengurus Kantin Kena Ada PhD
BACA: Pertikaian Sempadan Dengan Thailand, Kemboja Rancang Bawa Kes Ke ICJ