Siakap Keli

Nasken International Buka Cawangan Ke-43 Di Putrajaya, Sasar Penyenaraian Bursa Malaysia Menjelang 2026

Nasken International Buka Cawangan Ke-43 Di Putrajaya, Sasar Penyenaraian Bursa Malaysia Menjelang 2026

PUTRAJAYA — Jenama kafe tempatan yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, Nasken International Sdn Bhd, terus melakar kejayaan apabila membuka cawangan ke-43 mereka di Presint 15, Putrajaya. Pembukaan ini bukan sekadar menambah bilangan cawangan, tetapi mencerminkan perjalanan panjang sebuah jenama yang teguh berpegang pada nilai kekeluargaan, spiritual dan identiti Malaysia.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Nik Nazmi bin Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan. Turut hadir beberapa tokoh penting negara seperti Haji Jasri bin Kasim, Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan; Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Pengerusi Eksekutif DNeX Berhad; dan Ustaz Dr. Haji Zaharuddin Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Elzar Group.

Nasken International

Lebih dari Sekadar Cawangan Baharu

Menurut pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Nasken, Mohd Nazif bin Ab Aziz, pencapaian ini bukanlah sekadar kejayaan angka, sebaliknya simbol keteguhan prinsip, nilai dan misi yang dipegang sejak awal. Beliau berkongsi bahawa nama ‘Nasken’ sendiri mempunyai makna mendalam, gabungan daripada:

‘Sakinah’ – membawa maksud ketenangan,

‘Naz’ – panggilan ringkas namanya sendiri,

serta Kelantan – negeri asal permulaan jenama ini.

|“Bagi saya, Nasken adalah perjalanan mencari ketenangan melalui perniagaan. Bukan semata-mata mengejar keuntungan, tetapi membina sesuatu yang bermanfaat untuk masyarakat,” ujar beliau.

Langkah Menuju Penyenaraian di Bursa Malaysia

Nasken kini dalam proses awal untuk disenaraikan di Bursa Malaysia, dijangka direalisasikan menjelang akhir tahun 2026. Persiapan dokumentasi sedang dijalankan dengan sokongan peguam dan penasihat korporat, menandakan kesungguhan mereka untuk memastikan kelestarian jenama dalam jangka masa panjang.

Mohd Nazif menjelaskan bahawa langkah penyenaraian ini bukan hanya bertujuan untuk pengumpulan dana, tetapi sebagai strategi memperkukuh kestabilan jenama, memberi jaminan kepada kakitangan dan menyumbang secara lebih signifikan kepada pembangunan ekonomi dan sosial komuniti.

Dari Kelantan ke Madinah

Daripada permulaan yang sederhana di Kelantan, Nasken kini memiliki jaringan cawangan di seluruh Malaysia termasuk Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pahang, dan Terengganu. Strategi pengembangan mereka juga unik — tidak tertumpu hanya di kawasan bandar utama, tetapi bermula dari akar umbi sebelum menembusi pasaran nasional dan antarabangsa.

Antara perancangan terdekat termasuk pembukaan cawangan di KLIA2 Gateway pada Ogos 2025, serta langkah awal memasuki pasaran Timur Tengah, bermula dengan Madinah.

Nasken International

Pengalaman Pelanggan yang Berbeza

Nasken dikenali bukan sahaja kerana kopi mereka, tetapi juga pengalaman pelanggan yang dibina melalui suasana tenang, selesa dan sesuai untuk pelbagai aktiviti — sama ada bekerja, berbincang atau bersantai. Cawangan Nasken turut menampilkan pelbagai menu menarik seperti:

1. Kek tiramisu dan buttercream coffee

2.  Nasi lemak, mi goreng dan pelbagai menu tempatan

3. Minuman segar daripada kilang mereka sendiri

Semua produk dihasilkan segar dari dapur dan kilang milik sendiri, termasuk kilang kek, kilang minuman serta sistem logistik dalaman. Kesemua produk utama juga telah mendapat pensijilan halal, menambah keyakinan pelanggan terhadap jenama ini.

Nasken International

Promosi Istimewa & Sokongan Komuniti

Sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggan, Nasken menawarkan diskaun 50% untuk menu terpilih di semua cawangan sempena pembukaan cawangan baharu ini. Promosi ini merupakan simbolik penghargaan terhadap sokongan komuniti yang tidak pernah putus sejak awal penubuhan mereka.

|“Kita bukan sekadar kopi. Kita bawa cerita, suasana dan nilai,” tegas Mohd Nazif.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.