Siakap Keli
sempadan thailand kemboja
Kredit: Bangkok Post

Pertikaian Sempadan Dengan Thailand, Kemboja Rancang Bawa Kes Ke ICJ

Pertikaian Sempadan Dengan Thailand, Kemboja Rancang Bawa Kes Ke ICJ

PHNOM PENH – Kerajaan Kemboja akan membawa isu pertikaian sempadan dengan Thailand ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan insiden tembak-menembak antara tentera kedua-dua negara itu.

Menurut laporan Bangkok Post, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, pada Isnin memaklumkan perkara terbabit dalam Perhimpunan Kebangsaan negara itu. Beliau menegaskan komitmen Kemboja bagi mendaftarkan aduan rasmi kepada ICJ.

“Walaupun pihak Thailand tidak bersetuju, Kemboja tetap akan memfailkan aduan kepada ICJ demi menamatkan isu ini dan mengelakkan sebarang kekeliruan,” kata beliau.

Tindakan itu dilihat sebagai perubahan mendadak dalam strategi kerajaan Phnom Penh berbanding kenyataan terdahulu.

Sementara itu, Hun Manet menyatakan bahawa Kemboja akan mencadangkan untuk membawa isu sempadan itu ke Mahkamah Dunia ketika pertemuan dua hala bersama Thailand pada Ahad. Pertemuan tersebut bertujuan menyelesaikan isu kawasan sempadan yang belum ditandakan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC).

JBC merupakan mekanisme utama dalam menyelesaikan pertikaian antara Thailand dan Kemboja sejak sekian lama.

Isu sempadan yang menjadi perhatian termasuk kawasan Ta Muan Thom, Ta Muan Toch dan Ta Kwai iaitu runtuhan purba Khmer yang terletak berhampiran sempadan di wilayah Surin, Thailand.

Kawasan berkenaan juga bersempadan dengan Segi Tiga Zamrud. Ia merangkumi lokasi sempadan tiga negara melibatkan wilayah Ubon Ratchathani di Thailand, wilayah Preah Vihear di Kemboja dan wilayah Champassak di Laos.

Kemboja mendakwa tiga kuil purba itu terletak dalam wilayah Oddar Meanchey. Namun dakwaan tersebut dinafikan oleh Thailand.

Pada Rabu lalu, berlaku pertempuran singkat antara tentera Thailand dan Kemboja di kawasan pertikaian Chong Bok, sebuah lembah curam di daerah Nam Yuen, Ubon Ratchathani. Chong Bok turut termasuk dalam kawasan Segi Tiga Zamrud.

“Saya berharap kedua-dua pihak dapat bekerjasama mencari penyelesaian muktamad bagi kawasan pertikaian yang sensitif ini,” ujar Hun Manet.

Sementara itu, jurucakap tentera Thailand, Mejar Jeneral Winthai Suvaree menyuarakan bantahan terhadap langkah Kemboja membawa isu tersebut ke Mahkamah di The Hague pada Isnin. Menurut beliau, keutamaan perlu diberi kepada langkah untuk kedua negara kekal aman di kawasan sempadan yang dipertikai.

Susulan itu, kedua-dua kerajaan telah berikrar untuk menggunakan pendekatan damai dalam menyelesaikan pertikaian sempadan.

Sumber: Bangkok Post

BACA: Penganjuran Aktiviti Pelajar Di Masjid, MPP UPM Tampil Beri Penjelasan

BACA: Jenis Kesalahan Dikesan Kamera AwAS & Senarai Lokasi Terkini

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.