Siakap Keli
Agensi Pengangkutan Awam loke
Gambar: Bernama

Agensi Pengangkutan Awam Perlu Diterajui Profesional, Bukan Ahli Politik – Loke

Agensi Pengangkutan Awam Perlu Diterajui Profesional, Bukan Ahli Politik – Loke

PETALING JAYA, 4 Jun (Bernama) — Langkah kerajaan melantik golongan profesional dan bukannya pemimpin politik untuk menerajui agensi serta syarikat pengangkutan awam perlu diteruskan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata pelantikan individu berpengalaman dan berkelayakan bagi mengetuai agensi pengangkutan awam penting bagi menjamin pengurusan yang lebih profesional serta telus dan bukannya ditentukan atas dasar kepentingan politik.

“Pendirian saya, jangan ada lantikan politik dalam operator pengangkutan awam. Ia mesti diterajui oleh golongan profesional.

“Kita sudah melihat hasilnya, apabila kita lantik profesional dan tokoh-tokoh berpengalaman untuk menerajui organisasi, perubahan besar telah berlaku,” katanya dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 6 yang berlangsung di Menara Prasarana, di sini hari ini.

Beliau berkata Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menjadi bukti bagaimana pengurusan yang diketuai oleh individu profesional berjaya menunjukkan prestasi serta penambahbaikan perkhidmatan yang  lebih baik.

Forum itu membincangkan topik “Pengangkutan untuk Rakyat: Mengimbangi Antara Kemampuan Rakyat, Kualiti dan Kemampanan Pengangkutan Awam” yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Loke, ahli panel lain ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Mohd Azharuddin Mat Sah serta Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Beliau berkata peningkatan prestasi sistem pengangkutan awam negara adalah hasil usaha berterusan menaik taraf tren serta kemudahan di semua laluan, selain dipacu oleh pasukan pengurusan yang profesional dan berpengalaman.

Mengambil contoh sistem pengangkutan di Singapura, Loke berkata walaupun negara itu sering dianggap memiliki pengangkutan awam terbaik, namun mereka turut berdepan isu teknikal.

Sementara itu, Mohd Azharuddin berkata Prasarana kini bergerak dengan momentum positif dari segi jumlah penumpang, kebolehpercayaan operasi dan prestasi kemudahan stesen.

“Jika dilihat pada hasilnya, jumlah penumpang kami sangat rendah ketika pandemik. Namun dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memulihkan keadaan.

“Pada 2022, jumlah penumpang harian kami sekitar 681,000 orang. Kini pada 2025, angka itu meningkat kepada kira-kira 1.31 juta orang sehari,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.