BIG Caring Group Pilih RISE with SAP di AWS untuk Transformasi Pengalaman Runcit Farmasi di Malaysia
KUALA LUMPUR, Malaysia – 4 Jun 2025 – SAP hari ini mengumumkan bahawa BIG Caring Group, rangkaian farmasi runcit terbesar di Malaysia, telah memilih RISE with SAP di Amazon Web Services (AWS) untuk melaksanakan platform data berasaskan awan yang bersatu dan boleh diskala, bagi menyepadukan operasi runcit merentas lebih 500 cawangan di seluruh negara.
Ditubuhkan melalui penggabungan antara BIG Pharmacy Healthcare dan Caring Pharmacy Group pada tahun 2023, transformasi perniagaan BIG Caring Group telah bermula seawal 2019. Ketika itu, perisian perancangan sumber perusahaan (ERP) yang digunakan Caring Pharmacy secara setempat mula mengalami had kapasiti serta cabaran dalam transformasi data yang kompleks, sekali gus menjejaskan kerjasama antara jabatan. Apabila rangkaian cawangannya berkembang, Caring Pharmacy menyedari keperluan untuk sistem ERP yang lebih moden dan berdaya tahan bagi memperkemas operasi runcit.
Pada tahun 2021, syarikat melaksanakan SAP S/4HANA Retail bagi menstruktur semula fungsi penting seperti pengurusan rantaian bekalan, kawalan inventori, dan pengurusan hubungan pelanggan (CRM).
Apabila bergabung dengan BIG Pharmacy pada 2023, tahap kerumitan operasi meningkat. Kumpulan yang kini dikenali sebagai BIG Caring Group — dan menjadi rangkaian farmasi terbesar di negara ini — melihat peluang untuk mempercepatkan lagi transformasi digital dan menyatukan sistem berasingan kepada satu platform awan yang selamat, tangkas dan boleh diskala.
Ooh Chin Boon, Ketua Pegawai Maklumat, Big Caring Group berkata, “Penyepaduan operasi runcit kami yang pelbagai ke dalam satu platform awan yang bersatu merupakan pencapaian penting bagi kami. Kami memilih RISE with SAP di AWS untuk memperoleh data yang lebih tepat dan menyeluruh merentasi kumpulan, agar kami dapat bertindak balas dengan lebih cekap terhadap permintaan pelanggan dan ketidaktentuan dalam rantaian bekalan. Langkah ini memperkukuh keupayaan kami untuk menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih baik serta menjamin daya tahan perniagaan untuk masa hadapan.”
Peralihan Strategik ke Awan Inovatif
Pelaksanaan RISE with SAP di AWS menandakan lonjakan penting dalam transformasi BIG Caring Group, membolehkan penyatuan data daripada ratusan cawangan dan pelbagai jabatan ke dalam satu platform awan yang bersatu.
Dengan penyepaduan fungsi kritikal seperti pengurusan inventori, perolehan, pelaporan kewangan, dan libat urus pelanggan, kumpulan ini menjangkakan peningkatan kecekapan operasi yang ketara melalui pengurangan proses manual dan kos operasi, serta pemerkasaan proses membuat keputusan merentas seluruh perniagaan.
Platform ini turut menyediakan fleksibiliti dan skalabiliti untuk BIG Caring Group. Seiring dengan perubahan pantas dalam landskap farmasi runcit, kumpulan ini kini boleh memanfaatkan infrastruktur meluas AWS di rantau ini bagi menyesuaikan operasi mengikut keperluan pelanggan dan dinamik pasaran.
Mencorak Masa Depan Runcit Farmasi
Menerusi pelaksanaan platform ini, asas digital BIG Caring Group akan membolehkan akses yang lebih pantas kepada teknologi baharu yang sedang pesat berkembang, termasuk Kecerdasan Buatan Generatif (Generative AI) dan analitik ramalan lanjutan.
Vipin Chandran, Pengarah Urusan SAP Malaysia berkata, “SAP Business AI memainkan peranan penting dalam memperkasa automasi dan inovasi untuk pelanggan kami, dan peralihan ke awan merupakan langkah pertama dalam merealisasikan potensinya sepenuhnya. Saya berbesar hati kerana BIG Caring Group memilih RISE with SAP di AWS sebagai pemacu utama untuk mencapai matlamat transformasi mereka. Dengan skala operasi yang luas di negara ini, terdapat banyak potensi yang boleh kami terokai bersama untuk mentransformasi pengalaman runcit di Malaysia.”
Dengan teknologi SAP dan AWS yang dikuasakan oleh AI, BIG Caring Group berhasrat untuk menetapkan penanda aras baharu dalam pengalaman pelanggan melalui:
- Pengurusan Inventori Dioptimumkan: Menggunakan analitik masa nyata untuk meramalkan permintaan dan mengekalkan tahap stok yang ideal.
- Libat Urus Pelanggan yang Dipertingkatkan: Memanfaatkan pandangan berasaskan AI untuk memperibadikan pengalaman pelanggan serta menawarkan perkhidmatan secara proaktif.
- Kecemerlangan Operasi: Mengintegrasi penyelesaian Internet Benda (IoT) dan pembelajaran mesin untuk meningkatkan operasi rantaian bekalan, mengurangkan masa henti, dan memastikan setiap aspek operasi berada pada tahap kecekapan maksimum.
Dengan memilih RISE with SAP di AWS, BIG Caring Group bukan sahaja memperkemas operasi harian, malah meletakkan asas kukuh untuk inovasi dan pertumbuhan jangka panjang. Gergasi farmasi ini kini berada pada kedudukan yang kukuh untuk menerajui masa depan industri yang dipacu data, teknologi, dan pengalaman pelanggan bertaraf dunia.