Stride For Stripes: ‘Run For Tigers’ Tumpu Isu Konflik Manusia-Hidupan Liar
Sempena sambutan Hari Harimau Sedunia 2025, WWF-Malaysia dan Maybank mengumumkan penganjuran semula acara larian amal “Run For Tigers”, sebuah larian santai sejauh 3.5 km bagi meningkatkan kesedaran orang ramai serta sokongan terhadap usaha pemuliharaan harimau Malaya yang kini diambang kepupusan.
Acara ini akan berlangsung pada Sabtu, 26 Julai 2025, di Padang Semarak, Taman Wetland Putrajaya dan dijangka menjadi satu peluang bermakna bagi rakyat Malaysia untuk bersatu demi alam semula jadi serta harapan buat spesies harimau Malaya – khususnya ketika isu konflik antara manusia dan hidupan liar semakin meningkat.
Bertemakan ‘Dari Konflik ke Keseimbangan’, acara tahun ini memberi penekanan terhadap keperluan mendesak untuk beralih daripada konflik kepada wujudnya keharmonian bersama. Beberapa insiden tragis melibatkan manusia dan hidupan liar sepanjang tahun lalu membuktikan betapa pembangunan yang menjejaskan habitat harimau meletakkan komuniti dan haiwan dalam keadaan bahaya – sekali gus menggariskan keperluan pendekatan pemuliharaan yang menyeluruh.
“Pemuliharaan harimau bukan sekadar usaha elak kepupusan, tetapi tentang menjamin masa depan yang seimbang antara manusia dan hidupan liar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim. “Harimau Malaya adalah lambang warisan semula jadi negara, dan kelangsungannya bergantung kepada sejauh mana kita dapat menangani konflik manusia-hidupan liar serta menuju ke arah masa depan yang harmoni. Dengan usaha bersama, kesedaran dan rasa tanggungjawab, masa depan itu boleh dibina.”
Kerjasama antara WWF-Malaysia dan Maybank yang bermula sejak 2016 telah menyokong pelbagai inisiatif pemuliharaan penting termasuk perlindungan populasi harimau, penambahan sumber makanan haiwan liar, pemberdayaan komuniti Orang Asli dan pemantapan pengurusan standard CA|TS (Conservation Assured Tiger Standards). Hasil usaha ini, lebih 100 renjer telah digerakkan meronda lebih 70,000 km kawasan hutan tebal, dan berjaya menyahaktifkan 240 jerat aktif setakat ini.
“Dari konflik kepada keseimbangan – itulah hala tuju yang perlu kita capai,” kata Ketua Hal Ehwal Korporat Kumpulan Maybank merangkap CEO Maybank Foundation, Izlyn Ramli. “Melalui kerjasama ini, kami bukan sahaja melindungi hidupan liar, tetapi juga mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk komuniti yang tinggal berdekatan hutan. Dengan pelaburan dalam rondaan antijerat, pemantauan ekologi dan libat urus komuniti, kami membuktikan bahawa kerjasama korporat yang bertanggungjawab mampu menangani cabaran pemuliharaan jangka panjang. ‘Run For Tigers’ bukan sekadar acara riadah – ia satu langkah konkrit untuk melindungi antara spesies paling ikonik di dunia, dan dalam masa yang sama, melindungi pelbagai spesies lain.”
Selain larian, peserta dan pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti mesra keluarga termasuk sesi Zumba, permainan karnival, sudut foto, trak makanan dan program interaktif berkaitan usaha pemuliharaan harimau Malaya. Peserta juga berpeluang menyertai pertandingan “Run with Your Costume On” dengan mengenakan kostum haiwan liar atau spesies tumbuhan yang terdapat di Hutan Belum-Temengor untuk memenangi hadiah wang tunai.
Orang ramai dialu-alukan untuk mendaftar hari ini dan menyertai pergerakan demi menyelamatkan harimau Malaya. Sebanyak RM10 daripada setiap pendaftaran akan disalurkan terus ke tabung pemuliharaan harimau WWF-Malaysia.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari: https://www.jomrun.com/event/Run-for-Tigers-in-Conjunction-with-Global-Tiger-Day-2025.