Siakap Keli
tragedi gempa sabah
Kredit: Mount Kinabalu

Mengenang 10 Tahun Gempa Sabah, Malim Gunung Imbau Detik Tragedi

Mengenang 10 Tahun Gempa Sabah, Malim Gunung Imbau  Detik Tragedi

Tarikh 5 Jun 2015 merupakan tarikh yang mengemparkan seluruh negara apabila kejadian gempa bumi menggegarkan Gunung Kinabalu. Gegaran bermagnitud 6.0 itu mengorbankan 18 nyawa dan menyebabkan ramai pendaki ketika itu mengalami kecederaan.

Tidak hanya itu, gempa yang berlaku pada awal pagi itu turut mengubah landskap gunung tertinggi di Malaysia itu secara kekal.

Di kala negara berkabung dengan berita mangsa yang terkorban, terdapat individu yang berbakti tanpa meminta balasan. Mereka merupakan malim gunung dan komuniti setempat yang bertungkus-lumus memberikan bantuan dalam misi menyelamat ketika itu.

Nur Asram Ramli, salah seorang malim gunung sejak 2013 berkongsi detik tragedi Sabah digegar gempa bumi berkenaan.

Kredit: Bernama

Pada pagi kejadian, lelaki berkenaan masih berehat di rumahnya di kaki gunung.

“Saya nak lelap, tiba-tiba gempa berlaku. Macam tu saja,” imbaunya.

Gegaran dirasai tanpa sebarang amaran. Keliru dengan apa yang berlaku, lelaki berkenaan mula menerima panggilan daripada renjer taman. Tanpa berlengah, lelaki berkenaan berkumpul di kaki gunung bersama malim gunung yang lain.

“Orang tanya pada saya, ada yang meninggal ke dekat atas?

“Kami tak tahu. Ketika itu kami masih lagi melakukan persiapan di kem,” sambungnya.

Menurutnya, ketika itu dirasa seperti bermimpi. Segalanya dalam keadaan tidak pasti. Namun, kekaburan itu menjadi semakin jelas tatkala pasukan penyelamat itu mula mendaki.

Gambar hiasan: Bernama

Mereka tidak hanya menggalas tanggungjawab menyelamat para pendaki. Mereka turut ‘bertugas’ mencari rakan, ahli keluarga dan rakan pemandu yang belum kunjung pulang.

Ketika berada kira-kira 300 meter dari atas Kem Induk Panalaban, lelaki tersebut mendapati tiada laluan yang boleh dilalui. Ke mana sahaja arah yang cuba dituju terhalang dek runtuhan batu.

“Memang susah untuk ke sana. Saya tak jumpa laluan langsung,” ujarnya.

Runtuhan batu-batuan itu membuatkan pemanduan arah menjadi sukar dan berbahaya. Ketika itulah, dia ternampak sekilas pandang sekujur tubuh yang terheret menuruni denai.

“Itu yang paling saya tak boleh tahan. Saya tak boleh tengok,” katanya lagi.

Dek emosi yang terganggu, lelaki berkenaan membuat keputusan untuk kembali ke tapak kem untuk membantu dari sudut yang lain. Asram bertugas memberikan makanan kepada pendaki yang terkandas dan membuat persediaan bagi misi menyelamat fasa seterusnya.

Pada asalnya, rancangan mereka untuk tunggu di Panalaban pada malam itu dan teruskan misi menyelamat pada pagi berikutnya. Namun, satu lagi gegaran berlaku sekitar jam 9 malam menjadikan perancangan mereka terpaksa diubah. Pasukan penyelamat segera berkumpul di helipad dan membuat keputusan untuk turun dari kawasan berkenaan pada jam 10 malam. Seramai 40 orang malim gunung bersama beberapa pegawai bomba memulakan perjalanan turun dari sana.

Mereka turut membawa turun pendaki yang diselamatkan. Lelaki berkenaan bersama pasukannya membawa bersama mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kaki menggunakan pengusung hingga ke Pintu Timpohon. Ketika keletihan, mereka mengambil giliran bersama pasukan yang lain untuk membawa mangsa. Biarpun anggota APM cuba membantu, mereka bergelut dengan bentuk muka bumi yang sukar ditempuh.

“Mereka tidak dapat membawa mangsa yang cedera ke bawah. Jadi malim gunung gantikan mereka,” kongsinya lagi.

Gambar hiasan: Bernama

Pasukan penyelamat tiba di Pintu Timpohon sekitar jam 5 pagi keesokannya. Biarpun tiada kemalangan jiwa yang berlaku, mereka tiba dalam keletihan dan trauma.

“Saya sangat takut. Ketika itu, saya tak mahu lagi jadi malim gunung,” luahnya.

Lelaki berkenaan tidak keluar dari biliknya selama beberapa hari selepas pulang ke rumah. Malah, dia turut berdiam diri selama sebulan, cuba menghadam apa yang berlaku. Mengimbau kembali, Asram kehilangan dua rakan sekerjanya, Robbie Sapinggi dan Joseph Solungin.

“Robbie merupakan malim gunung yang sangat berpengalaman. Dia seorang rakan yang baik, sangat suka membantu dan memang ramah.

“Joseph korbankan nyawanya melindungi pendaki daripada runtuhan batu,” imbasnya sayu.

Namun begitu, keadaan itu tidak kekal lama. Lelaki tersebut menerima panggilan untuk membantu bina semula laluan ke puncak. Mendapat panggilan tersebut, jiwanya kembali hidup. Dia menganggap ia sebagai satu cabaran untuk lakukan sesuatu dengan lebih baik.

Hari ini, genap 10 tahun tragedi tersebut berlaku. Lelaki berkenaan masih mendaki, setia membimbing sebagai malim gunung.

“Ini bukan sekadar pekerjaan bagi saya. Inilah diri saya,” ujarnya.

Sumber: Mount Kinabalu

BACA: Wanita Daki Gunung Kinabalu, Kenang Pemergian Adik Dalam Tragedi Gempa 2015

BACA: Dua Mangsa Gempa Sabah Kembali Jejak Gunung Kinabalu Selepas Sedekad

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.