Cara Masak Sup Tulang Pekat Berempah
Nak masak sup tulang pekat berempah yang sedap dan padu untuk hidangan raya korban? Ini resipi mudah dan confirm menjadi, sesuai untuk anda hidangkan bersama keluarga ketika Raya Haji.
Dalam artikel ini, SK kongsikan cara masak sup tulang pekat yang bukan sahaja mudah, tetapi dijamin harum dan berempah. Daging korban boleh dimasak menjadi sup tulang kaw yang menyelerakan.
Ikuti resipi sup tulang pekat dan berempah untuk hidangan Raya Haji yang dikongsi oleh pengguna Facebook, Ayu Mashruddin.
Resipi sup tulang pekat guna daging korban
Pertama sekali yang perlu anda lakukan ialah merebus tulang.
Ketika merebus, masukkan sekali hirisan halia. Setelah air mula mendidih, buang air rebusan pertama untuk hilangkan bau. Ini penting untuk hasilkan sup tulang daging korban yang tidak hanyir.
Sementara menunggu tulang direbus, anda boleh sediakan bahan-bahan untuk menumis sup nanti.
Bahan-bahan sup tulang berempah raya korban
Berikut bahan-bahan untuk hasilkan sup tulang berempah raya korban yang pekat dan wangi.
Hiris bawang merah, bawang putih dan halia. Kemudian, titik atau ketuk sedikit serai. Sediakan juga akar daun ketumbar dan satu sup bunjut adabi khas untuk sup tulang. Jangan tersalah pilih pula.
Untuk rempah sup, sediakan satu pek kecil rempah sup adabi, satu pek kecil rempah kurma adabi dan satu pek perencah sup daging dan tulang.
Anda mungkin juga boleh sediakan lobak merah dan kentang untuk ditambah ke dalam sup. Akhir sekali, sediakan daun sup, daun bawang dan bawang goreng sebagai hiasan.
Cara mudah masak sup tulang pekat guna daging korban
Panaskan sedikit minyak, kemudian tumis semua bahan hiris tadi sehingga naik bau. Masukkan rempah sup, rempah kurma, dan perencah sup daging tulang. Kacau rata. Antara rahsia dalam cara masak sup tulang pekat yang menjadi ialah dengan menumis rempah hingga betul-betul garing dan pecah minyak.
Kemudian, masukkan hirisan tomato dan batang daun sup untuk aroma yang lebih segar. Tambahkan sedikit garam dan perasa mengikut cita rasa anda. Kacau hingga sebati kemudian masukkan tulang yang sudah direbus tadi.
Tambahkan air secukupnya hingga semua tulang terendam. Kacau sedikit dan tunggu sehingga sup mendidih.
Apabila sup mula mendidih, masukkan lobak merah dan kentang. Masak hingga empuk. Biarkan sup mereneh seketika untuk menjadikan kuah lebih pekat dan berempah. Akhir sekali, taburkan daun sup, daun bawang dan bawang goreng sebelum dihidangkan. Sup tulang anda kini sedia untuk disantap bersama nasi putih panas atau roti.
Cara masak sup tulang pekat seperti ini bukan sahaja sesuai untuk Raya Haji, malah sesuai dimasak bila-bila masa sepanjang tahun.
Sumber: Ayu Mashruddin via Masak Apa Hari Ini
BACA: Tak Bahaya Jika Guna Dengan Betul, Ini Cara Jaga Kuali “Cast Iron”