Isteri, Anak Pemandu Alza Stabil, Dirawat Di Hospital Baling
BALING, 9 Jun (Bernama) – Isteri kepada pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza serta anak perempuan mereka berusia enam tahun yang terlibat dalam tragedi nahas bas membawa pelajar Uniiversiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi, dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Baling, dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Mansor Zakaria berkata Nurul Ain Zakaria, 36, serta Nur Aisyah Nafishah Mohd Lutfi, 6, mereka kini dalam keadaan stabil dan akan dirujuk ke bahagian ortopedik untuk rawatan susulan.
Bagaimanapun, katanya ketika dihubungi, suami Nurul Ain yang juga pemandu MPV berkenaan Mohd Lutfi Radzi, 37, bersama anak bongsu mereka, Muhammad Ahsan Nafis, 2, yang turut cedera dalam kemalangan itu, telah dibenarkan pulang petang tadi selepas menerima rawatan di hospital yang sama.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 pagi di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berdekatan Tasik banding, Gerik, 15 pelajar UPSI maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan sebuah Perodua Alza.
Bas berkenaan yang membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju ke kampus universiti di Tanjung Malim,Perak.
Sumber: Bernama
BACA: Nahas Bas UPSI: 17 Jam Berlalu, Proses Bedah Siasat Mayat Selesai, Identiti Enam Mangsa Diketahui
BACA: Nahas Pelajar UPSI: 160 Pelajar UPSI Berlepas Ke Jertih Untuk Beri Penghormatan Terakhir