Malaysia, UAE Perkukuh Usaha Bersama Dalam Peningkatan Kemahiran, AI Dan Mobiliti Tenaga Kerja
DUBAI, 9 Jun 2025 – Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam aspek mobiliti bakat, peningkatan kemahiran tenaga kerja, dan kesiapsiagaan kecerdasan buatan (AI), sejajar dengan perubahan pesat dalam landskap teknologi dan pasaran buruh global.
Kesepakatan ini dicapai dalam pertemuan rasmi antara Menteri Sumber Manusia Malaysia, YB Steven Sim Chee Keong, dan Menteri Sumber Manusia dan Emiratisasi UAE, TYT Dr. Abdulrahman Abdulmannan Al Awar, di Dubai. Pertemuan tersebut menjadi titik tolak penting dalam memperkukuh strategi dan kerjasama berorientasikan masa depan yang memberi fokus kepada dasar tenaga kerja digital, migrasi buruh, dan transformasi pendidikan.
UAE, yang kini menduduki tangga ketiga dunia dalam kesiapsiagaan bakat AI, berkongsi pengalaman negara itu dalam mengintegrasi teknologi AI dalam sektor kewangan, bioteknologi dan perkhidmatan awam. Menteri UAE memberi penekanan terhadap kepentingan mempunyai dasar pendidikan serta tenaga kerja yang tangkas dalam mendepani impak AI kepada pekerja sektor buruh dan profesional.
YB Steven Sim mengiktiraf kedudukan UAE dalam bidang ini dan menjelaskan bahawa Malaysia kini giat melaksanakan persediaan tenaga kerja bagi menghadapi era AI. Beliau merujuk kepada “Kajian Utama Mengenai Impak AI, Digitalisasi, dan Ekonomi Hijau Terhadap Tenaga Kerja” yang dilaksanakan oleh TalentCorp pada tahun 2024, yang mengenal pasti 10 sektor utama berisiko tinggi terhadap penggantian atau transformasi pekerjaan. Kajian ini kini menjadi asas kepada strategi nasional untuk peningkatan dan penyesuaian semula kemahiran, bagi memastikan para pekerja bersedia menghadapi lanskap pekerjaan yang sedang berubah dengan pantas.
Kedua-dua negara turut mengiktiraf peranan rangkaian bakat global dalam memacu inovasi. YB Steven berkongsi inisiatif Malaysia melibatkan diaspora, termasuk sesi maya bersama pakar AI, Dr. Mohd Saberi Mohamad, yang pernah berkhidmat di UAE dan kini berpangkalan di Melbourne. Usaha sebegini menegaskan komitmen Malaysia untuk memanfaatkan kepakaran global rakyat Malaysia.
Sebagai tanda kerjasama antarabangsa, UAE menjemput YB Steven Sim untuk menghadiri Abu Dhabi Dialogue pada Februari 2026, yang akan memfokuskan kepada migrasi beretika, hak pekerja dan penyelarasan dasar rentas negara.
Malaysia dan UAE telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak tahun 1983, berasaskan nilai bersama dan kerjasama ekonomi yang kukuh. UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah dan menjadi tuan rumah kepada komuniti ekspatriat Malaysia yang besar, dengan 13% daripadanya memegang Golden Visa UAE.
Kedua-dua menteri mengulangi komitmen untuk memanfaatkan hubungan erat ini bagi membina tenaga kerja masa depan yang inklusif, bersedia, dan sejajar dengan piawaian global.