Tengku Zafrul Nafi Sertai Pilihan Raya Kecil
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menafikan bahawa beliau akan menyertai mana-mana pilihan raya kecil (PRK).
Menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik dalam Facebook, Tengku Zafrul berkata perbincangan mengenai PRK tidak pernah dibuat.
“Saya terpanggil untuk menjelaskan beberapa perkara berkenaan keputusan saya berundur daripada UMNO dan permohonan menyertai PKR.
“Berkenaan desas-desus mengenai penyertaan dalam mana-mana pilihan raya kecil, baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri, saya ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan tentang perkara ini pernah berlaku, dan ia bukan sebahagian daripada pertimbangan saya dalam membuat keputusan ini.
“Saya sememangnya tidak bersetuju dengan konsep pencetusan PRK tanpa keperluan yang mendesak, kerana PRK juga melibatkan masa dan duit Rakyat,” katanya.
Menurutnya, beliau akan terus melaksanakan tugas Ahli Dewan Negara sehingga tamat tempoh perkhidmatan pada Disember 2025.
“Berkenaan kedudukan saya sebagai seorang Menteri, saya menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada budi bicara YAB PM. Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti. Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat, dan selagi khidmat saya diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu kepada jawatan,” ujar beliau.
Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa pengunduran beliau daripada UMNO merupakan kehendak sendiri tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.
“Saya akui, ia bukanlah suatu keputusan yang mudah. Namun saya telah menimbangkan semua pandangan dan pendapat yang diberikan dengan cukup mendalam.
“Di dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap individu mempunyai hak untuk membuat pilihan peribadi, dan saya amat menghargai semua pandangan serta penerimaan terhadap keputusan ini,” tambahnya.
Dalam kenyataan yang sama, beliau mengambil kesempatan bagi menzahirkan penghargaan buat Presiden UMNO serta semua pihak yang memberi sokongan sepanjang tempoh beliau bersama UMNO.
“Doakan saya terus istiqamah dalam perjuangan berbekal semangat baharu sesudah pulang dari Tanah Suci Mekah,” ucapnya.
Sumber: Tengku Zafrul
BACA: Tragedi Bas UPSI: Senarai 15 Mangsa Terkorban
BACA: Nahas Pelajar UPSI: Syarikat Bas Nafi Dakwaan Guna Pemandu Lori Sebagai “Back Up”