Nahas Bas Gerik: Identiti Semua Pelajar UPSI Yang Maut Dikenal Pasti
IPOH, 9 Jun (Bernama) – Identiti 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan ngeri di KM53 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dekat Gerik awal pagi tadi telah dikenal pasti.
Terdahulu, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI dalam kenyataan memaklumkan mereka ialah Sufea Adela Maslihaizan, 21, (yang beralamat di Kampung Air Terjun, Jertih), Mohammad Aqil Taqiudin, 21, (Kampung Gong Bayor, Besut), Anis Soffiyya Md Zaidi, 20, (Kampung Rahmat, Chalok, Setiu) dan Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21, (Lorong Tapah, Kampung Anak Ikan, Jertih).
Sementara itu, dalam senarai yang diperoleh pihak media, pelajar lain ialah Fakhrul Arif Rosdi, 20, (Kampung Kerandang, Jertih), Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, (Kampung Gong Duek, Besut), Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21, (Kampung Bharu Tok Dor, Jertih), Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, (Kampung Padang Luas, Jertih) dan Nur Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21 (Kampung Paya Rawa, Besut).
Turut meninggal dunia Muhammad Mustaqim Rosde, 21, (Kampung Telaga Nibong, Jertih), Nor Ayuni Maslan, 21, (Felda Tenang, Jertih), Nurly Sahirah Azman, 23, (Kampung Gong Pasir Kerandang, Besut) dan Fatin Nasrien Fadli, 22 (Kampung Kerandang, Besut).
Jenazah mereka dibedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Dua lagi jenazah yang dibedah siasat di Hospital Gerik pula ialah Muhammad Adib Hazim Halim, 21, yang beralamat di Tanah Perkuburan Kampung Pasir Badak, Jertih dan Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, dari Jalan Gong Maksom, Kampung Amer, Besut.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan proses bedah siasat ke atas semua jenazah mangsa selesai petang tadi.
Sementara itu, konvoi van membawa jenazah pelajar terbabit mula meninggalkan Jabatan Forensik HRPB menuju ke ke Jertih, Terengganu pada 8.55 malam.
Difahamkan, sejurus tiba di Jertih, kesemua jenazah akan disolatkan sekali lagi di Masjid Hadhari sebelum disemadikan di tanah perkuburan kampung masing-masing.
Jenazah akan dibawa ke Terengganu melalui JRTB dengan diiringi polis kontinjen Perak dan Kelantan.
Pagi tadi, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan sekurang-kurangnya 15 maut dalam nahas membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dan sebuah kenderaan pelbagai guna di JRTB berhampiran Tasik Banding di Gerik.
PKOD APM Hulu Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu daripada Hospital Gerik pada 1.10 pagi.
Sumber: Bernama
BACA: Lewat 15 Minit, Pelajar UPSI Terselamat Dalam Tragedi Bas Maut
BACA: Saya Lihat Rakan Tersepit, Hanya Mampu Selamatkan Diri – Mangsa