Siakap Keli
Menjaga Maruah dalam Laporan Krisis: CMCF Seru Tanggungjawab Bersama Selepas Tragedi Gerik
Gambar : FB CMCF

Menjaga Maruah dalam Laporan Krisis: CMCF Seru Tanggungjawab Bersama Selepas Tragedi Gerik

Menjaga Maruah dalam Laporan Krisis: CMCF Seru Tanggungjawab Bersama Selepas Tragedi Gerik

KUALA LUMPUR, 11 JUN 2025 – Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan insan tersayang mangsa tragedi nahas bas di Gerik baru-baru ini yang telah meragut 15 nyawa.

CMCF menyambut seruan YB Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, agar semua pihak termasuk pencipta kandungan, pengamal media dan orang ramai mengamalkan empati, budi bicara dan tanggungjawab dalam menghasilkan serta menyebarkan kandungan berkaitan insiden ini.

Dalam saat negara bersedih, kita perlu ingat bahawa di sebalik setiap tajuk berita atau hantaran tular, terdapat keluarga yang sedang berduka. Kandungan yang bersifat sensasi, menceroboh privasi, atau tidak menghormati maruah mangsa bukan sahaja memudaratkan, malah menghakis nilai kemanusiaan kita secara kolektif.

Ciri-Ciri Laporan Bertanggungjawab

Kod Kandungan – kerangka kawal selia kendiri kandungan digital di Malaysia – menetapkan garis panduan yang jelas bagi pelaporan dan perkongsian kandungan secara beretika, khususnya dalam situasi krisis. CMCF menggesa semua pihak untuk mematuhi perkara-perkara berikut:

  • Elakkan Paparan Mengganggu atau Melampau: Jangan siarkan atau edarkan foto atau video yang memaparkan mangsa maut, cedera, atau keadaan lokasi dalam cara yang tidak sensitif atau tidak beretika.
  • Hormati Privasi: Jangan dedahkan butiran peribadi mangsa tanpa keizinan waris terdekat. Elakkan daripada mengganggu keluarga mangsa yang sedang berkabung bagi mendapatkan kenyataan atau kandungan.
  • Sahkan Maklumat Sebelum Kongsi: Jangan sebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih mengenai punca kejadian atau individu terlibat.
  • Gunakan Bahasa yang Sesuai: Elakkan tajuk atau naratif bersifat sensasi yang memburukkan lagi suasana tragedi.
  • Pamerkan Keprihatinan dan Konteks: Tumpukan pada usaha bantuan kepada mangsa yang terselamat, tindak balas kecemasan, serta saluran sokongan kepada keluarga mangsa.

Memupuk Tanggungjawab Bersama dalam Penyampaian Kandungan yang Prihatin

CMCF menyeru semua pencipta kandungan, organisasi media dan individu untuk mengamalkan profesionalisme, kepekaan dan pertimbangan yang bijak apabila menghasilkan atau berkongsi kandungan berkaitan tragedi. Cara penyampaian maklumat pada waktu kehilangan yang besar ini boleh meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa, keluarga mereka, dan masyarakat.

Segala bentuk platform, sama ada dalam talian, siaran, mahupun media cetak, harus mencerminkan nilai-nilai murni rakyat Malaysia dengan mengekalkan martabat, melindungi privasi, dan menunjukkan empati, terutamanya ketika berdepan tragedi nasional.

CMCF bersedia untuk memberikan nasihat dan sokongan berkaitan amalan kandungan yang beretika dan bertanggungjawab. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.contentforum.my.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.