Pesta Itu-Ini Kelantan 2025 Raikan Kepelbagaian, Sasar Lebih 30,000 Pengunjung
KOTA BHARU, 13 Jun 2025 – Kembara RIUH kembali menyemarakkan semangat kebersamaan dan meraikan kepelbagaian budaya rakyat Malaysia menerusi Pesta Itu-Ini Kelantan 2025. Pesta ini akan berlangsung dari 19 hingga 21 Jun 2025 di Parkir B, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 11.00 malam.
Mengangkat slogan “Itu dan Ini untuk Semua”, Pesta Itu-Ini Kelantan 2025 bukan sekadar festival, malah merupakan platform inklusif yang meraikan pelbagai elemen seni, budaya, komuniti dan gastronomi yang mencerminkan kekayaan warisan tempatan serta kepelbagaian masyarakat Malaysia, khususnya di Kelantan.
Pesta ini dijangka menarik lebih 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya. Ia menampilkan 70 vendor makanan dan bengkel kreatif, serta 15 persembahan artis terkenal termasuk Hafiz Hamidun, Exist, dan Fugo. Turut memeriahkan acara ialah persembahan tradisional Dikir Barat dan Rebana Kertok yang menonjolkan keunikan seni warisan negeri.
Pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti komuniti seperti acara bekwah, pertandingan bola sepak jalanan, wau terbang, dan konvoi Vespa. Ruang permainan khas untuk kanak-kanak turut disediakan, menjadikan pesta ini mesra keluarga dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Lebih istimewa, 10 agensi kerajaan akan turut hadir untuk menawarkan perkhidmatan terus kepada rakyat sepanjang acara berlangsung.
Masuk adalah percuma, dan orang ramai dijemput hadir bagi bersama-sama menyertai sambutan yang mengangkat semangat perpaduan dan kepelbagaian budaya ini.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, sila ikuti saluran rasmi di Instagram dan Facebook: @pestaituini, @riuhinthecity dan @mycreativeventures.