Serangan Israel: Iran Tutup Ruang Udara, Ikrar Bertindak Balas Dengan Keras
Iran dilapor telah menutup ruang udara untuk satu tempoh yang tidak dinyatakan susulan serangan Israel ke atas fasiliti nuklear dan ketenteraan negara berkenaan.
Menurut AFP, angkatan tentera Iran turut berikrar akan bertindak balas dengan keras terhadap serangan yang dilancarkan Israel pada pagi Jumaat itu.
Terdahulu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu melaporkan serangan ke atas fasiliti nuklear Iran di Natanz turut menyasarkan kumpulan saintis yang bertugas di kemudahan berkenaan.
Walaupun serangan fasa pertama sudah selesai, Netanyahu menegaskan operasi Israel terhadap Iran akan berlangsung selama mana yang diperlukan.
Dalam perkembangan terbaru, AFP yang memetik media tempatan, Tasnim melaporkan seorang pemimpin senior Iran terkorban dalam serangan yang dilancarkan oleh Israel.
Menurut AFP, serangan yang menyasarkan ibu pejabat Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) telah membunuh pemimpin tertingginya, Mejar Jeneral Hossein Salami.
Beberapa orang saintis nuklear utama Iran juga dilaporkan terkorban.
Sementara itu, Israel turut mengisytiharkan darurat selepas menjangkakan Iran akan melancarkan serangan balas dalam masa terdekat.
Sumber dalaman tentera Israel memberitahu, pihaknya percaya Iran mempunyai keupayaan untuk melancarkan serangan pada bila-bila masa.
Sumber: AFP