Siakap Keli
150 kucing ditemui mati
Kredit: NHK

150 Kucing Ditemui Mati Di Rumah Sukarelawan Perlindungan Haiwan

150 Kucing Ditemui Mati Di Rumah Sukarelawan Perlindungan Haiwan

Jepun – Seorang wanita yang bergiat aktif dalam kumpulan perlindungan haiwan ditahan polis selepas kira-kira 150 bangkai kucing ditemui di kediamannya di Daerah Kita, Kumamoto, lapor Koreaboo.

Penahanan dilakukan selepas Pusat Perlindungan Haiwan Bandar Kumamoto menerima aduan awam pada hujung Mei daripada seorang individu yang pernah menyerahkan kucing kepada wanita tersebut.

Aduan tersebut dibuat selepas individu terbabit meminta semula kucingnya namun dimaklumkan bahawa kucing itu telah mati. Menurut pengadu, terdapat kesan penderaan pada bangkai kucing, termasuk kulit yang terkopek di bahagian kaki.

Siasatan lanjut mendapati aduan terhadap wanita terbabit bukan yang pertama diterima pihak berkuasa. Pusat Perlindungan Haiwan Bandar Kumamoto pernah menerima laporan pada Julai dan November 2024 berkaitan pengendalian haiwan oleh wanita berkenaan.

Pada ketika itu, beliau dilaporkan memelihara sekurang-kurangnya 20 ekor kucing, termasuk beberapa ekor yang dilaporkan telah mati. Namun, siasatan sebelum ini hanya dilakukan dari luar rumah kerana kekangan tertentu dan tidak menemui bukti penderaan.

Menurut laporan Asahi, pasukan polis dan ahli kumpulan perlindungan haiwan memasuki rumah wanita berkenaan pada 2 Jun lalu dan menemui lebih 150 bangkai kucing dalam pelbagai keadaan mereput dan tinggal rangka.

Mereka turut menyelamatkan 12 ekor kucing yang masih hidup. Keadaan dalam rumah juga didapati dipenuhi sampah dan sisa haiwan.

Wanita itu, yang dilaporkan pernah ditahan pada Disember 2013 atas kes lain, dikatakan menyedari siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya. Beliau didakwa mengikut Akta Kesejahteraan Haiwan Jepun atas kesalahan penderaan haiwan.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan telah membuat aduan jenayah rasmi kepada Polis Wilayah Kumamoto.

Siasatan turut dilakukan bersama Kementerian Alam Sekitar Jepun bagi menentukan sama ada kes ini berpunca daripada “kegagalan pengawalan haiwan peliharaan” akibat bilangan haiwan yang melebihi kemampuan penjagaan, atau sekiranya wujud unsur penderaan secara sengaja.

Wakil kumpulan perlindungan haiwan yang terlibat menyuarakan kekesalan mereka atas kegagalan mengesan kejadian lebih awal, lapor NHK.

“Kami amat kesal kerana tidak dapat menyedari situasi ini lebih awal. Kami rasa bertanggungjawab dan menganggap isu ini serius,” kata jurucakap kumpulan berkenaan.

Wanita terbabit sebelum ini aktif sebagai sukarelawan yang menerima kucing daripada pemilik yang tidak mampu menjaganya lagi sejak tahun 2020. Pihak berkuasa masih meneruskan siasatan penuh untuk memastikan nasib haiwan-haiwan lain yang mungkin masih dalam bahaya.

Sumber: Koreaboo, Asahi, NHK

BACA: Bintang “Mind Your Language” Kelahiran Pulau Pinang, Lim Pik-Sen Meninggal Dunia

BACA: Nahas Air India: Swafoto Terakhir Lima Sekeluarga Buat Ramai Sayu

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.